Orang ramai membeli barang keperluan asas yang menawarkan harga murah berbanding pasaran menerusi Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di laman Bougainvilla, Gombak pada 25 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program jualan murah PKPS esok di sembilan lagi lokasi

SHAH ALAM, 29 SEPT: Program jualan murah barang keperluan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan lagi di sembilan lokasi esok mula 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Jelajah Ehsan Rakyat itu melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Sungai Tua, Hulu Kelang, Pandan Indah, Subang Jaya, Taman Medan, Kota Damansara, Meru dan Jeram.

PKPS menawarkan barang keperluan asas seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

 


Pengarang :