Penduduk membeli barang keperluan asas yang menawarkan harga murah berbanding pasaran menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di Rumah Pangsa SS19/7A Subang Jaya pada 27 September 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Program jualan murah terus dapat sambutan, ayam dan telur paling laris

SUBANG JAYA, 27 SEPT: Program jualan murah, Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Rumah Pangsa SS19/7A di sini terus mendapat sambutan daripada penduduk setempat.

Wakil Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Norlinda Abu Kassim berkata ayam dan telur yang dijual pada harga RM10 setiap satu antara barang paling banyak dibeli.

“Penduduk yang hadir masih terkawal dan datang secara berperingkat kerana mungkin disebabkan faktor ramai keluar bekerja.

“Namun, jualan masih memuaskan dan antara barangan tumpuan ayam dan telur diikuti beras serta minyak,” katanya ditemui pada program tersebut hari ini.

Tambahnya, kerjasama daripada wakil rakyat atau penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) amat penting supaya lebih ramai dapat manfaat daripada jualan murah tersebut.

“Lokasi yang kita tetapkan ini merupakan cadangan pejabat wakil rakyat dan mereka boleh bantu dengan menguar-uarkan jualan murah.

“Apabila masyarakat di luar tahu berkenaan program, lebih ramai lagi akan datang mendapatkan barangan yang dijual pada harga amat berpatutan,” katanya.

Program JER bermula 6 September sehingga 6 Disember hadapan menawarkan jualan harga barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Menerusi jualan murah ini, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg(RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :