Petani menunjukkan anak benih padi sah MR219 yang diterima semasa program bantuan anak benih padi di Parit 11 Timur, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Projek tanaman di Sabak Bernam langkah berani negeri pacu industri pertanian

SHAH ALAM, 29 SEPT: Projek pembangunan tanaman bernilai tinggi di 1,300 hektar kawasan sekitar Sabak Bernam disifatkan sebagai langkah berani Kerajaan Selangor dalam memacu industri pertanian negeri.

Wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) mampu meningkatkan ekonomi negeri selain menawarkan lebih 3,600 peluang kerja kepada penduduk.

“Sektor pertanian tidak kurang juga membantu menyumbang kepada ekonomi negeri. Maka pembangunan SABDA secara tidak langsung turut mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Ini merupakan usaha berani Kerajaan Negeri dalam mencetuskan pembangunan daripada aspek pertanian,” katanya dalam program bual bicara di YouTube Media Selangor semalam.

SABDA antara projek yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi dengan anggaran pulangan hasil RM248 juta setahun.

Dalam pada itu, Juwairiya berkata kerjasama agensi kerajaan mahupun swasta dituntut bagi memastikan rancangan pembangunan lima tahun negeri yang menggariskan empat strategi utama dan 262 projek mencapai sasaran.

“Selangor negeri pertama yang melancarkan rancangan lima tahun, tiada negeri lain melaksanakannya kerana kita mengambil model Rancangan Malaysia.

“Apabila kita ada rancangan ekonomi jangka panjang, ia memudahkan pihak kewangan dan jabatan kerajaan untuk merancang belanjawan dengan lebih berhemah,” katanya.

RS-1 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha negeri itu tidak mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Menerusi pembangunan RS-1, empat teras strategik iaitu pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian dan peningkatan kecekapan tadbir urus.


Pengarang :