Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen empat peratus untuk dua Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PTPTN umum kaedah pinjaman terkini untuk M40 dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memaklumkan kaedah pelaksanaan pinjaman terkini bagi golongan M40 (M1) dan pinjaman komputer riba bagi golongan berkenaan dalam masa terdekat selepas dimuktamadkan.

Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengenai kenaikan pinjaman PTPTN kepada golongan itu daripada 75 peratus kepada 100 peratus serta kemudahan pinjaman komputer riba.

Dalam kenyataan hari ini, PTPTN menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman tersebut.

“Pengumuman ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan serta kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, PTPTN memaklumkan bahawa peminjam yang menamatkan pengajian bermula 2019 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama layak membuat permohonan untuk pengecualian bayaran balik pinjaman, yang dibuka sejak semalam hingga 31 Dis.

“Peminjam boleh memohon secara dalam talian di portal rasmi PTPTN https://www.ptptn.gov.my/kelaspertamaonline/Utama,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, peminjam juga boleh menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di 03-2193 3000 (operasi Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang), Live Chat di http://www.ptptn.gov.my atau media sosial rasmi PTPTN.

-BERNAMA

 


Pengarang :