Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnul Baharuddin (dua, kanan) menyampaikan sumbangan insentif haji kepada penerima ketika Selangor Agro Market “Jawafest” di Dewan Orang Ramai Taman Sri Putra, Kuala Langat pada 3 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pusat khidmat Morib hebah skim air percuma, pastikan ramai peroleh manfaat

KUALA LANGAT, 3 SEPT: Pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib akan menggerakkan ahlinya mendekati masyarakat bagi menghebahkan insentif air percuma.

Ahli Dewan Negeri Hasnul Baharuddin berkata langkah itu susulan pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung kenaikan had kelayakan skim daripada RM4,000 kepada RM5,000.

“Ini membolehkan lebih ramai penduduk mendapat manfaat skim diperkenalkan sejak 2008 sekali gus meringankan beban penduduk.

“Sekarang masih ada penduduk tidak tahu mengenai inisiatif ini. Jadi kita akan gerakkan ahli untuk hebahkan supaya penduduk layak segera memohon,” katanya kepada SelangorKini.

Hasnul berkata demikian ketika ditemui pada majlis Selangor Agro Market Jawafest 2022 di Taman Sri Putra dekat sini hari ini.

Pada program ambang merdeka, Amirudin berkata kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati skim air percuma 20 meter padu dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Penambahan itu berikutan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat tersebut dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM5,000.

Ketika ini, sebanyak 237,000 akaun pengguna menikmati Skim Air Darul Ehsan dengan pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024.

Syarat kelayakan lain meliputi pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.


Pengarang :