Orang ramai mendapatkan pelbagai barangan asas sempena Jelajah Ehsan Rakyat di Kampung Kemensah, Gombak pada 15 September 2022. Foto Facebook Saari Sungib
ADNSELANGOR

Putrajaya wajar contohi Selangor, sedia inisiatif ringan beban rakyat

GOMBAK, 15 SEPT: Putrajaya wajar mencontohi pentadbiran Selangor yang membuat pelbagai inisiatif bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat akibat kenaikan harga barang.

Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib berkata pemerintah harus mencari penyelesaian tuntas dalam aspek itu supaya rakyat dapat menjalani hidup dengan aman dan tenteram.

“Peranan sebuah kerajaan adalah memudahkan rakyat agar mereka tidak terbeban sekali gus dapat hidup tenteram. Kawalan harga barang terutama makanan asas harus dibuat dengan betul.

“Jangan naikkan begitu sahaja kerana yang terkesan adalah rakyat. Begitu juga bekalan perlu mencukupi dan pastikan ia tidak terputus,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kampung Kemensah, Hulu Kelang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saari menyambut baik program jualan murah barangan asas yang menjelajah ke seluruh lokasi di Selangor dengan tawaran harga lebih rendah berbanding pasaran.

“Saya suka program sebegini kerana menunjukkan sifat prihatin Kerajaan Selangor. Dari akhir tahun lepas, PKPS laksana program jualan murah yang memanfaatkan ramai rakyat.

“Kali ini mereka teruskan lagi dengan pendekatan berbeza iaitu membawa trak ke kawasan penempatan penduduk,” katanya lagi.

Bermula 6 September hingga 6 Disember, program JER menawarkan barangan makanan asas pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Enam produk utama dibawakan kepada penduduk ialah ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), beras lima kilogram (RM10 per pek) dan minyak masak lima kg (RM25 sebotol).


Pengarang :