Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal Mazwan Johar menyampaikan baucar RM100 kepada penerima Skim Mesra Usia Emas. Foto ihsan Pejabat ADN Sungai Ramal
ADNSELANGOR

Rai hari jadi, lebih 3,000 warga emas di Sungai Ramal terima baucar RM100

SHAH ALAM, 26 SEPT: Hampir 3,500 warga emas di Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal menerima baucar beli-belah RM100 sepanjang Januari hingga Oktober.

Wakil rakyat Mazwan Johar berkata inisiatif Skim Mesra Usia Emas membolehkan penerima membeli keperluan di pasar raya terpilih yang sedikit-sebanyak meringankan beban perbelanjaan.

“Minggu lalu kita agihkan baucar kepada 800 penerima yang lahir pada Julai dan Ogos. Akan datang kita akan serahkan kepada peserta September dan Oktober.

“Kita harap lebih ramai menerima manfaat skim ini. Dalam masa sama keadaan inflasi mendorong warga emas melakukan pendaftaran untuk mengurangkan beban belanja,” katanya kepada SelangorKini.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar beli-belah dan khairat kematian.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk sebanyak RM27.5 juta bagi kelangsungan program tahun ini.


Pengarang :