Atlet renang Selangor, Ng Shin Jian ketika beraksi dalam acara 200 Meter gaya bebas pada Sukan Malaysia 2022 (SUKMA) di Pusat Akuatik Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 19 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Raih emas 200m gaya bebas, atlet renang impi ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Atlet renang Selangor Terence Ng Shin Jian meraikan kejayaan bermakna apabila meraih pingat emas acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 semalam.

Atlet berusia 21 tahun itu nyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya kerana berjaya menukar warna gangsa yang dimenanginya pada edisi 2018 kepada kilauan emas selepas menamatkan saingan dengan 1 minit 51.20 saat (s).

Beliau yang mesra dipanggil Terence menewaskan wakil Wilayah Persekutuan Tan Khai Xin yang mengutip perak dengan 1:52.46s diikuti Low Zheng Yong dari Melaka dengan 1:53.83s untuk gangsa.

Katanya, beliau bersyukur kerana segala kerja keras sejak menceburi sukan itu pada usia 11 tahun berjaya diterjemahkan dengan kemenangan pada penampulan terakhirnya di pentas SUKMA dan menyimpan impian untuk mewakili negara ke Sukan SEA 2023 di Kemboja.

“Saya sangat gembira dan teruja kerana saya tidak sangka dengan kemenangan ini selain mencatat rekod peribadi terbaik. Sebelum ini, saya pernah menang gangsa pada 2018, jadi kali ini emas. Perasaan itu memang lain.

“Sekarang saya masih berlatih di bawah negeri Selangor sahaja tapi saya akan teruskan latihan. Saya menyasarkan untuk mewakili negara ke Sukan SEA Kemboja,” katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, atlet Sabah Loo Yie Bing melakar kejutan apabila mengungguli acara 200m gaya bebas wanita dengan catatan 2:07.03s.

Atlet berusia 14 tahun yang membuat penampilan keduanya di pentas SUKMA berjaya menewaskan Kelly Teo Yao dari Sarawak yang berpuas hati dengan pingat perak dengan 2:07.63s diikuti Ong Yong Qi dari Johor dengan 2:08.46s untuk gangsa.

“Masa 2018 di Perak saya cuma di tempat keenam jadi ini memang kemunculan semula tetapi saya perlu perbaiki cara renangan sebab memang target untuk beraksi di Sukan SEA tahun depan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :