Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (lima, kanan) berkenan bergambar bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat,kanan) ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda berkenan rasmi pembukaan Pameran Udara Selangor

SHAH ALAM, 8 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan acara pembukaan Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 hari ini.

Ketibaan Baginda di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) di sini diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Turut serta Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris.

Dalam majlis itu, Baginda menyaksikan majlis penghargaan kerjasama program pembangunan kemahiran digital rangka kerja dan laluan kerjaya dalam industri aeroangkasa antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bersama 10 syarikat.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tengku Amir Shah juga menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (Selati) dan Volar Air Mobility.

Baginda kemudian berkenan melawat gerai pempamer serta kapal terbang dan helikopter statik.

Berlangsung dari 8 hingga 10 September, SAS 2022 disertai 63 pempamer dari Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.

Antara syarikat mengesahkan penyertaan ialah Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Edisi pertama SAS pada 25 hingga 27 November tahun lalu menarik pelaburan sehingga RM100 juta dengan 12 MoU bersama subsektor industri aeroangkasa dimeterai.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :