Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyiram selepas menanam pokok Merbau sebagai simbolik perasmian program penanaman pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di kaki Bukit Broga, Hulu Langat pada 24 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Raja Muda berkenan rasmi program tanam pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa

Oleh Zulaikha Zulkifli

SEMENYIH, 24 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan merasmikan program penanaman pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di sini, hari ini.

Ketibaan Tengku Amir Shah di kaki Bukit Broga diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian.

Turut serta Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Dato’ Mohd Ridza Awang dan Pengarah Perhutanan Negeri Selangor Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid.

Dalam majlis sama, baginda turut menyaksikan pelancaran aplikasi program penanaman pokok peringkat Selangor serta menyampaikan hadiah pemenang pertandingan pameran terbaik, sebelum mengadakan lawatan ke tapak pameran.

Raja Muda kemudian berkenan menanam sebatang pokok sebagai simbolik sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar ketika berucap sempena program tersebut menyeru semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk menjayakan program penanaman 26 juta pokok.

Amirudin berkata program tersebut penting untuk dilaksana selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang memberi tempoh hingga 2026 untuk menyempurnakan sasaran.

Maklum beliau, sasaran penanaman 26 juta pokok juga selari dengan tempoh 26 tahun pemerintahan Sultan Selangor yang bermula pada 2001.


Pengarang :