Remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hadir sesi pengecaman dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 17 Jun 2022. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Rakaman video percakapan Bella dimainkan di mahkamah

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Video rakaman percakapan remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella di Pusat Temuduga Kanak-Kanak dimainkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Video itu memaparkan remaja berusia 13 tahun itu, yang didakwa diabai dan didera pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, ditemu bual oleh pegawai polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah selepas diselamatkan dari sebuah kondominium milik tertuduh di Wangsa Maju pada 12 Julai 2021.

Bagaimanapun sebelum video itu ditayangkan, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun memohon agar galeri awam dikosongkan memandangkan Bella adalah kanak-kanak bawah umur dan dilindungi di bawah Seksyen 6 Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan permohonan itu dan mengarahkan hanya pihak pendakwaan, pembelaan, peguam pemerhati dan tertuduh berada di dalam mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memaklumkan bahawa saksi yang dijadual memberi keterangan hari ini iaitu pakar psikiatrik yang mengendalikan kes Bella tidak dapat hadir kerana terbabit dengan sesi pembentangan lain berkaitan kepakarannya.

“Pendakwaan mempunyai lima lagi saksi termasuk seorang pakar psikiatrik, seorang doktor perubatan, dua pegawai penyiasat dan Bella sendiri. Saksi selepas pakar psikiatrik adalah Bella. Pakar psikiatrik perlu membantu mahkamah memahami ketidakupayaan dan keterbatasan intelektual Bella.

“Pakar itu boleh beri contoh soalan yang boleh dikemukakan kepada Bella. Kami berpendirian Bella hanya boleh dipanggil selepas pakar psikiatri beri keterangan,” katanya.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 21 September ini.

– BERNAMA

 


Pengarang :