Orang ramai membeli barang keperluan asas yang menawarkan harga murah berbanding pasaran menerusi Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di laman Bougainvilla, Gombak pada 25 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat harap jualan murah negeri dianjur mingguan, penuhi keperluan B40, M40

Oleh Zulaikha Zulkifli

GOMBAK, 25 SEPT: Program Jualan Ehsan Rakyat yang menawarkan barangan dapur murah berbanding harga pasaran membantu orang ramai melakukan penjimatan memandangkan kos sara hidup kian meningkat

Saliya Samidi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pekerja swasta, Saliya Samidi, 43, berkata jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sangat membantu golongan B40 dan M40 di negeri ini.

“Jualan ini sangat membantu golongan B40, M40 dan rakyat Selangor. Selain itu, ia juga dapat kurangkan kos sara hidup kita memandangkan kos sekarang meningkat.

“Saya rasa amat bertuah duduk di Selangor. Terima kasih pada Menteri Besar sebab prihatin dengan rakyat. Inisiatif ini beri penjimatan. Duit yang ada saya boleh menyimpan atau guna untuk perkara lain,” katanya ditemui di Kampung Sungai Kertas di sini, hari ini.

Zakaria Sulam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pesara, Zakaria Sulam, 62, pula mencadangkan barangan lain seperti sayur-sayuran turut dijual pada program tersebut.

“Bagus ada jualan begini. Harga dia berbeza dengan kedai biasa. Kalau boleh buatlah tiap-tiap minggu jualan ini.

“Jualan begini akan bantu ringankan beban sebab barangan yang dijual ialah makanan keperluan harian. Saya juga nak cadang kalau boleh tambah sayur-sayuran juga,” kata Zakaria Sulam, 62.

Suri rumah, Sabariah Isa, 61, melahirkan rasa gembira dengan program jualan tersebut kerana ia memberi kesenangan pada keluarganya.

Sabariah Isa. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, seronok dengan jualan begini sebab sekarang barang mahal. Saya harap biarlah jualan ini diadakan setiap minggu.

“Saya seronok jadi rakyat Selangor, ada banyak keistimewaan dan kelebihan, perkara ini memberi kesenangan pada saya dan keluarga. Saya harap kerajaan yang ada sekarang kekal,” katanya

Jelajah Ehsan Rakyat yang dilancar pada 30 Ogos lalu menawarkan barangan makanan asas pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Enam produk utama ialah ayam yang dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), beras lima kilogram (RM10 per pek) dan minyak masak lima kg (RM25 sebotol).

Orang ramai membeli barang keperluan asas yang menawarkan harga murah berbanding pasaran menerusi Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di laman Bougainvilla, Gombak pada 25 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :