Petugas Skuad Saidina Umar Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni seorang remaja yang hidup sebatang kara dengan menjadikan masjid sebagai tempat tinggal sementara pada 6 September 2022. Foto Facebook LZS.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Remaja sebatang kara tumpang masjid dibantu, LZS usaha sediakan tempat tinggal

SHAH ALAM, 7 SEPT: Seorang remaja yang menjadikan masjid sebagai tempat tinggal sementaranya disantuni Lembaga Zakat Selangor (LZS), petang semalam.

Agensi itu memaklumkan, remaja lelaki berumur 19 tahun yang hidup sebatang kara diusir oleh saudaranya selepas berlaku salah faham baru-baru ini.

“Beliau telah kematian ibu bapa sejak berusia sembilan tahun. Abangnya yang berusia 10 tahun ketika itu juga meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya sekitar 2012.

“Sejak pemergian ahli keluarganya, remaja ini dibesarkan oleh saudaranya sehingga usianya kini mencecah 19 tahun. Kini beliau sedang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi ,” katanya menerusi Facebook.

LZS menerusi Skuad Saidina Umar mengambil tindakan segera bagi membantu remaja tersebut selepas menerima aduan dari pusat panggilannya.

Menurut LZS, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak masjid berkenaan untuk menyediakan tempat tinggal serta bantuan lain mengikut keperluan remaja berkenaan.

“Mungkin pada zahirnya beliau telah hilang keluarga tempat mengadu dan bermanja, namun LZS dan masjid akan sentiasa menjadi keluarganya agar beliau tidak hidup melarat dan sukar,” katanya.

 


Pengarang :