Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (berdiri dari atas, tengah) bersama pemain bola sepak Selangor 1995 selepas menyerahkan kunci Rumah Idaman Selangor sempena Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rezeki tidak ternilai, skuad bola sepak 1995 syukur terima ganjaran rumah

KAJANG, 29 SEPT: Bekas pemain Selangor menyifatkan pemberian rumah bernilai RM250,000 oleh Kerajaan Negeri umpama ‘mimpi dalam mimpi’, selepas menanti 27 tahun ganjaran memenangi Piala Malaysia 1995.

Azman Adnan berkata semua bekas pemain skuad tersebut bersyukur menerima tawaran rumah meskipun tidak mendapat tanah seperti dijanjikan Kerajaan Negeri terdahulu, lapor portal Berita Harian.

“Inilah yang dikatakan kita hanya mampu merancang dan tuhan penentu segalanya. Ini penghargaan yang tidak ternilai, mungkin rezeki isteri dan anak-anak saya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana mengambil inisiatif merealisasikan perkara ini,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan dan penyerahan sijil kelayakan memiliki hartanah di Kajang 2, di sini, hari ini.

Sementara itu, anak kepada bekas penyerang The Red Giants Anuar Abu Bakar, Imam Shah berkata dia dan ibunya lega selepas hasrat arwah bapa tercapai apabila menerima ganjaran seperti yang dijanjikan.

“Ibu pun nampak gembira sebab sebelum ini ayah banyak bercakap mengenai perkara ini (ganjaran tanah). Bersyukurlah akhirnya penantian ini berakhir dan ibu dapat melaksanakan apa yang ayah impikan,” katanya.

Kapten Selangor yang menjulang Piala Malaysia 1995, Ismail Ibrahim berkata toleransi antara pemain dan Kerajaan Negeri membolehkan jalan penyelesaian dapat diraih dan memuaskan hati kedua-dua pihak.

“Kita bekerja keras untuk mendapatkan hak kita dan kita menemui langkah penyelesaian dengan pangsapuri pada harga berpatutan. Kami berpuas hati dengan apa yang diberikan.

“Walaupun berbeza jika mendapat ganjaran tanah tetapi saya fikir ini langkah yang menang menang untuk semua pihak,” katanya.

Pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-28 pada 11 November 1995 selepas menanti selama sembilan tahun apabila menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.

Susulan itu, pemain dan pegawai dijanjikan sebidang tanah berukuran 0.4 hektar oleh mantan Dato’ Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib tetapi tidak ditunaikan menyebabkan mereka meminta Amirudin mencari jalan penyelesaian.


Pengarang :