Ilustrasi penderaan dan keganasan rumah tangga. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ribuan kes dera fizikal, seksual kanak-kanak dalam tempoh enam bulan

PASIR MAS, 6 SEPT: Sejumlah 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di seluruh negara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata berdasarkan statistik itu, penderaan fizikal sebanyak 578 kes (54.8 peratus), penderaan seksual 417 kes (39.6 peratus) dan penderaan emosi 60 kes (5.6 peratus).

Katanya, daripada jumlah itu juga, 706 kes atau 68 peratus adalah melibatkan kanak-kanak perempuan dan 349 kes atau 33 peratus kanak-kanak lelaki.

“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya kita tidak ambil peduli dan boleh dikenakan hukuman selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001, dengan tiga pihak yang perlu membantu dalam kes tersebut iaitu pengamal perubatan, penjaga serta pengasuh.

“Mereka ini wajib melaporkan perkara tersebut (penderaan) sekiranya tahu sebarang kes keganasan terhadap kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak di sini hari ini.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata bagi tempoh 2020 hingga 2022, Selangor mencatatkan kes penderaan tertinggi iaitu 4,256 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2,131 kes), Sabah (1,239 kes) dan Johor (1,155 kes).

Menurutnya statistik pihak polis bermula Januari hingga Jun tahun ini juga merekodkan 1,348 kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak iaitu rogol 641 kes, rogol berkumpulan (47 kes), sumbang mahram (127 kes), seks luar tabii (95 kes) dan cabul (438 kes).

“Trend ini menunjukkan perkembangan yang tidak sihat terutamanya yang melibatkan golongan rentan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :