Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. – Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rosmah dihukum penjara 10 tahun, denda RM970 juta kes rasuah projek solar sekolah

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan denda RM970 juta, atau penjara 10 tahun, ke atas Datin Seri Rosmah Mansor selepas beliau didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Rosmah, hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Beliau dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.

Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Setelah memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, pihak pembelaan menutup kes pada 23 Februari lepas. – BERNAMA


Pengarang :