AGENDANASIONAL

Rumah terbakar dipanah petir, tujuh kucing peliharaan rentung

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kediaman seorang warga emas di Kampung Bukit Diman, Ajil, Kuala Berang hangus terbakar petang semalam dipercayai berpunca daripada panahan petir.

Lebih menyedihkan Timah@Faridah Musa, 69, apabila tujuh kucing peliharaannya turut rentung dalam kebakaran pada jam 2.30 petang, lapor Harian Metro.

Wanita itu yang tinggal bersama anaknya Zahirah Mat Tazan, 27, tiada di rumah ketika kejadian kerana melawat saudara manakala Zahirah sedang bekerja.

“Saya bergegas pulang sejurus menerima panggilan telefon daripada jiran yang memaklumkan rumah saya terbakar dipercayai disambar petir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang Hanafi Mohd berkata kawasan itu dilanda hujan lebat disertai guruh dan petir sebelum kebakaran tersebut berlaku.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 2.44 petang dan 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian dibantu tujuh anggota daripada BBP Wakaf Tapai.

 


Pengarang :