Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan kesihatan percuma di Jelajah Selangor Penyayang bulan depan

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri diteruskan di Jelajah Selangor Penyayang fasa dua pada bulan depan, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata keputusan meneruskan Selangor Saring diibuat susulan sambutan menggalakkan orang ramai, meskipun inisiatif tersebut sudah berakhir pada 11 September lalu.

“Untuk siri jelajah di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), program ini mendapat sambutan baik apabila lebih 66 peratus individu yang mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) hadir menjalani saringan.

“Ini merupakan projek rintis dan Selangor berjaya saringan untuk rakyat secara percuma. Selangor Saring tidak fokus mereka yang sakit tetapi individu berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga dan berat badan berlebihan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Medan Selera Puchong Permai di sini, hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Johary Anuar.

Jelajah Selangor Penyayang fasa dua disambung semula melibatkan daerah Klang, Sabak Bernam, Sepang dan Hulu Selangor dengan memfokuskan agenda Rancangan Selangor Pertama (RS-1) serta intipati Belanjawan Selangor 2023.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah memaklumkan analisis awal menunjukkan situasi penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat agak membimbangkan.

“Contohnya, di daerah Klang sahaja lebih 1,000 individu berisiko mendapat penyakit buah pinggang sekiranya tidak dijaga. Jika tidak buat sesuatu, untuk jangka masa panjang lebih ramai yang perlukan dialisis,” katanya.

Pada 22 September, Dato’ Menteri Besar berkata program Selangor Saring mendapat sambutan amat menggalakkan apabila seramai 45,000 individu menyertai inisiatif tersebut, melebihi sasaran 31,000 individu ditetapkan.

Maklum Dato’ Menteri Besar, daripada jumlah tersebut seramai 4,809 individu disarankan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Program pemeriksaan kesihatan percuma melibatkan peruntukan RM3.1 juta menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Pengarang :