Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berucap sempena Majlis Perasmian Nama Baharu Blok dan Bangunan Utama Universiti Selangor (Unisel) Kampus Shah Alam pada 14 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Sedia awal hadapi banjir, DUN Kota Anggerik mahu tubuh sukarelawan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik berhasrat menubuhkan pasukan sukarelawan khusus bagi memberi bantuan bencana.

Wakil rakyatnya Najwan Halimi berkata langkah tersebut sebagai persediaan awal jika berlaku kejadian tidak diingini seperti banjir yang berlaku pada tahun sebelumnya.

“Kita sudah belajar dari sejarah banjir yang lepas, kita tidak mahu macam dulu bila nak banjir baru nak cari orang, cari bantuan.

“Maksudnya kita nak buat persiapan awal sebelum banjir berlaku, kita sudah ada pasukan untuk membantu,” katanya ketika merasmikan program menjenamakan semula bangunan Universiti Selangor (Unisel) Kampus Shah Alam, di sini.

Najwan berharap pelajar Unisel terutama di Kampus Shah Alam dapat menyertai pasukan sukarelawan itu kerana mereka mempunyai pengalaman membantu masyarakat ketika banjir.

“Pelajar Unisel mempunyai hubungan serta jaringan yang rapat dengan komuniti terutama penglibatan ketika banjir yang lepas. Jika ada pelajar Unisel yang berminat boleh kita bersama-sama,” katanya.

Ketika banjir melanda negeri ini Disember tahun lalu, seramai 2,512 warga Unisel terbabit dalam misi bantuan.

Canselor,  Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alahaj Raja Tun Uda Alhaj berkata jumlah tersebut merangkumi 2,254 pelajar dan 258  staf di mana mereka terlibat dalam 68 misi bantuan.


Pengarang :