Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merangkap Pengerusi Selangor FC menyerahkan surat pelantikan ketua jurulatih kepada Tan Cheng Hoe pada 24 September 2022. Foto Facebook SELANGOR FC
AGENDASUKANKINI

Selangor FC lantik Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih

SHAH ALAM, 24 SEPT: Selangor FC hari ini mengumumkan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi Liga Super musim hadapan.

Pengurusan Gergasi Merah memaklumkan pelantikan bekas pengendali pasukan kebangsaan itu bagi memberi ruang kepadanya membuat persediaan awal serta merancang untuk kelab tersebut.

“Berdasarkan pencapaian dan pengalaman beliau, kelab percaya Cheng Hoe merupakan calon terbaik untuk membawa pasukan ini ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan,” katanya menerusi laman sesawang SelangorFC.com .

Selain pelantikan Cheng Hoe, kenyataan itu turut mengumumkan pelantikan bekas pemain negeri dan kebangsaan K Sanbagamaran sebagai penasihat teknikal Selangor FC.

Kelab juga akan memaklumkan secara rasmi berhubung pelantikan lain seperti pengarah sukan dan pengarah teknikal dalam masa terdekat.

Cheng Hoe, 54, sebelum ini mengendalikan pasukan kebangsaan dari 2018 sehingga 2021 dan membantu Malaysia menjadi Naib Juara Kejohanan AFF 2018 serta mempamerkan antara persembahan terbaik dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.

Sepanjang keriernya, beliau turut mengecapi kejayaan seperti ketika bersama Kedah dengan menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017 serta penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.

“Bagi saya, Selangor FC merupakan kelab berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain berkualiti. Saya berbesar hati untuk menabur bakti kepada pasukan ini.

“Kalau diberikan peluang, saya yakin ramai jurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor FC. Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan,” kata Cheng Hoe.

Beliau berterima kasih kepada pengurusan kelab berhubung pelantikannya sebagai ketua jurulatih dan berpeluang bersama pasukan lebih awal dan dengan kerjasama semua pihak berasa yakin mampu membawa Selangor FC ke satu tahap lebih baik.

Sebelum ini, Gergasi Merah melantik Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih sementara untuk baki saingan Liga Super selepas Michael Feichtenbeiner melepaskan jawatan untuk kembali fokus kepada projek pembangunan bola sepak negeri sebagai pengarah sukan yang disandang sejak 2020.

Nidzam akan bertanggungjawab semula sebagai penolong jurulatih kepada Cheng Hoe.


Pengarang :