Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor pilihan syarikat aeroangkasa luar teroka pelaburan sejak 2020

SHAH ALAM, 8 SEPT: Selangor menjadi pilihan syarikat aeroangkasa antarabangsa bagi meneroka potensi pelaburan dalam sektor itu, dengan peningkatan ketara sejak 2020.

Mengambil contoh Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Dato’ Menteri Besar berkata ia boleh menempatkan sehingga 19 pengendali penerbangan perniagaan dan penerbangan am sayap tetap.

“Selain itu, terdapat 13 helikopter pengendali penerbangan am di situ dengan lebih 80 peratus adalah milik tempatan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap sempena pembukaan Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris.

Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin menambah lapangan terbang terbabit turut menjadi pusat pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal yang dimiliki syarikat pengeluaran produk tulen (OEM), MRO Execujet.

“Kemudahan serantau ini (MRO) beroperasi menjelang suku ketiga tahun depan,” katanya.

Berlangsung dari 8 hingga 10 September, SAS 2022 disertai 63 pempamer dari Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.

Antara syarikat mengesahkan penyertaan ialah Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Edisi pertama SAS pada 25 hingga 27 November tahun lalu menarik pelaburan sehingga RM100 juta dengan 12 MoU bersama subsektor industri aeroangkasa dimeterai.


Pengarang :