Petugas kesihatan membuat pemeriksaan ke atas salah seorang peserta progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Saring, SEHAT tingkat kesedaran ramai jaga kesihatan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kesihatan awam menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat Selangor merintis kehidupan berkualiti dan terhindar dari penyakit, kata Dato’ Menteri Besar.

Selepas vaksin dan saringan percuma, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor Saring serta Selangor Mental Sihat (SEHAT) pula diperkenal bagi mencegah dan mengubati penyakit kritikal.

Menurutnya, Selangor Saring membantu rakyat mengesan awal penyakit jantung, buah pinggang dan barah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kepentingan kesihatan.

Manakala inisiatif SEHAT pula membantu rakyat mengetahui tahap kesihatan mental secara kendiri dan diberikan akses percuma kepada pelbagai intervensi awal.

“Program ini meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental serta mengurangkan stigma negatif,” katanya di Facebook hari ini.

“Kedua-dua inisiatif ini adalah langkah awal untuk negeri ini merintis kehidupan berkualiti yang sihat. Data menunjukkan peratusan mudarat kesihatan termasuk kes bunuh diri sangat membimbangkan.”

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Selain mengesan barah payu dara, program hingga 4 September turut menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

SEHAT pula dibangunkan dengan dana RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental. Kedua-dua inisiatif itu boleh diakses melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).


Pengarang :