Ahli Pusat Wanita Berdaya turut serta pada program Jelajah Selangor Penyayang di pekarangan Stadium Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tambah program baharu perkasa wanita, keluarga

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Beberapa program baharu berkaitan wanita dan keluarga bakal dilaksanakan menerusi Belanjawan Selangor 2023 bagi memanfaatkan golongan berkenaan.

EXCO pembangunan keluarga dan wanita berkata pihaknya juga akan memantapkan program sedia ada supaya kebajikan masyarakat terus terbela dan dipelihara.

“Sekarang kita ada banyak program bermanfaat antaranya program Anak Istimewa Selangor (Anis). Jadi sasaran tahun depan untuk mantapkan lagi program seperti ini.

“Dalam masa sama, kita akan tambah beberapa program lain. Kita tumpukan perkara ini menerusi kajian yang dibuat selain data yang diterima,” kata Dr Siti Mariah Mahmud kepada SelangorKini.

Bagi menambah baik kehidupan rakyat, Kerajaan Negeri menawarkan 44 inisiatif menerusi pakej Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan lebih RM600 juta.

Skim menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat turut melibatkan 12 insentif dalam kluster kebajikan keluarga antaranya Iltizam Anak Penyayang dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang memboleh penerima mendapat bantuan RM3,600.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan membentang belanjawan tahunan itu pada 28 Oktober di Dewan Negeri Selangor.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan Facebook Media Selangor (www.facebook.com/MediaSelangor).


Pengarang :