Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak, 69, kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selepas Selangor, Pulau Pinang tarik darjah kebesaran Najib

GEORGE TOWN, 15 SEPT: Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju menarik balik penganugerahan Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak, berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Zakuan Zakaria dalam satu kenyataan hari ini berkata Najib dikurniakan keahlian D.U.P.N. yang membawa gelaran Datuk Seri Utama itu pada 2009.

“Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau atas beberapa pertuduhan.

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang D.U.P.N. yang membawa gelaran Datuk Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa pada 15 September,” katanya.

Menurut beliau, pembatalan dan pemansuhan Keahlian ini adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.

Pada Isnin (12 September) lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ yang dikurniakan kepada Najib pada 2004 dan 1992, ditarik balik dan dibatalkan. – BERNAMA


Pengarang :