Orang ramai bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang semasa menyaksikan persembahan udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Dataran Putra pada 31 Ogos 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Serangan Subuh antara usaha ambil alih aset negara pascamerdeka

Meski kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia pula terbentuk pada 16 September enam tahun kemudian, usaha pengambilalihan aset negara daripada syarikat bekas negara penjajah hanya giat dirancang pada pertengahan 1970-an.

Menurut Profesor Dr Shakila Yacob, sejarawan Universiti Malaya (UM), walau agak lewat tetapi usaha pengambilalihan syarikat multinasional asing yang menjadi sasaran kerajaan amat membanggakan.

“Serangan subuh”, usaha mengejut mengambil alih Kumpulan Guthrie di bursa saham London pada 7 September 1981, antara detik yang paling dikenang. Dalam tempoh empat jam, syarikat perladangan gergasi Britain itu hilang 200,000 ekar tanah.

Menulis makalah The ‘Unfinished Business’ of Malaysia Decolonisation: The Origins of the Guhtrie Dawn Raid (bersama Nicholas White), Dr Shakila menjelaskan kepada Amin Ridzuan Ishak dalam temu bual pada 9 September mengenai usaha ambil alih aset itu dan kesannya kepada ekonomi.

Menurut hemat Prof, adakah projek pengambilalihan syarikat asing era penjajahan di negara ini berjaya atau tidak? Boleh Prof jelaskan berapa peratus pemilikan syarikat tersebut pada sekitar 1960-an dan 1970-an dibandingkan pada 1990-an dan 2000-an ketika Prof menjalankan kajian ini?

Usaha pengambilalihan syarikat multinasional asing (terutama British) yang menjadi sasaran kerajaan pada pertengahan 1970-an sehingga awal 1980-an merupakan suatu usaha yang boleh dibanggakan. Usaha ini, pada hemat saya, amat berjaya. Usaha pengambilalihan ini amat diperlukan memandangkan pada awal 1970-an hampir 70 peratus ekonomi negara dikawal oleh pelabur asing (terutama British).

Saya tidak mempunyai akses kepada statistik pemilikan syarikat multinasional asing bagi tahun yang disebutkan, cuma jadual satu ada menyatakan jumlah pemilikan tanah oleh tiga syarikat perladangan British yang terbesar di Malaysia ketika itu.

Selain pengambilalihan Guthrie, bolehkah Prof nyatakan syarikat atau aset milik asing yang diambil alih sama ada dibeli oleh entiti di Malaysia? Jika ada boleh nyatakan tahun pengambilalihan dan aset diambil alih?

Jadual dua menunjukkan beberapa syarikat multinasional asing yang telah diambilalih oleh syarikat berkait kerajaan termasuk Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan juga Permodalan Nasional Berhad (PNB). Jadual tersebut juga menunjukkan tahun pengasasan dan tahun pengambilalihan.

Dalam sektor bijih timah, Pernas misalnya menggunakan anak syarikatnya Pernas Securities Sdn Bhd untuk membentuk New Trade Winds bagi tujuan mengambil alih London Tin Corporation, satu konglomerat perlombongan yang besar. Pengambilalihan ini telah dirancang atas nasihat dan tunjuk ajar sebuah bank pelaburan, N M Rothschild and Sons Ltd.

Selepas pengambilalihan tersebut, New Trade Winds telah menukar namanya kepada Malaysian Mining Corporation Bhd (MMC) dan membentuk satu perikatan global dengan Charter Consolidated Ltd, sebuah kumpulan British and Amerika Syarikat yang terlibat dalam pembiayaan pelaburan perlombongan.

Charter Consolidated mempunyai kepentingan perlombongan di Malaysia dan juga Afrika Selatan. Pada 1981, PNB memiliki 71.35 peratus kepentingan MMC daripada Trade Winds, oleh kerana PNB juga memiliki 34.9 peratus daripada Malayan Tin Dredging, pihak PNB menggabungkan kedua-dua syarikat tersebut pada 10 Oktober 1981.

Justeru, PNB memiliki saham MMC sebanyak 56.15 peratus. Penggabungan ini menjadikan MMC sebagai syarikat perlombongan terbesar dunia dengan sumbangan bersih tahunan sebanyak 22 peratus daripada pengeluaran bijih timah Malaysia.

Satu lagi contoh adalah syarikat Sime Darby milik British yang diasaskan di Melaka pada 1910. Sime Darby diambil alih melalui (board struggle) pelantikan lembaga pengarah baharu pada 1976.

Sime Darby menarik minat syarikat milik kerajaan Malaysia, iaitu Pernas yang ditubuhkan pada 1969 bermodalkan RM900 juta (USD200 juta). Pemegang kepentingan utama Pernas ialah Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, dan Bank Bumiputera Malaysia (juga milik kerajaan dan dipertanggungjawabkan secara khusus untuk memudahkan pertumbuhan kewangan Melayu yang lebih besar).

Hubungan rasmi Pernas dengan Sime Darby bermula pada Jun 1972 melalui satu usaha sama. Ini merupakan strategi Pernas untuk mewujudkan perkongsian dengan syarikat multinasional yang berteknologi tinggi dan mempunyai keupayaan pasaran global.

Pernas-Sime Darby bernilai RM10.9 juta (£2.09 juta) dengan pegangan saham Pernas sebanyak 51 peratus. Pernas-Sime Darby kemudiannya membeli perniagaan dagangan (trading company) Sime Darby dalam barangan pengguna dengan harga RM14.5 juta.

Secara perlahan-lahan Pernas meningkatkan pegangannya dalam syarikat Sime Darby iaitu sebanyak 5.6 peratus pada 1975 kepada 9 peratus pada 1976 dan 19 peratus menjelang 1977. Ini menjadikan Pernas pemegang saham terbesar.

Dengan aset bersih bernilai RM715 juta pada 1976, Sime Darby adalah terlalu mahal untuk diambil alih sepenuhnya. Justeru, Pernas telah mengatur strategi untuk menguasai badan pengarah dengan melantik ahli lembaga pengarah dari Malaysia, Filipina dan Singapura pada November 1976. Seterusnya Pernas berjaya menguasai syarikat multinasional tersebut.

Sejarawan Universiti Malaya (UM) Profesor Dr Shakila Yacob

Apakah faktor-faktor mendorong pengambilalihan aset-aset ini?

Saya percaya faktor yang mendorong pengambilalihan aset ini adalah untuk meningkatkan pegangan ekonomi negara. Sekali gus dapat memenuhi objektif Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi, usaha pengambilalihan dapat memenuhi strategi tindakan afirmatif DEB untuk meningkatkan penyertaan orang Melayu atau Bumiputera dalam ekonomi negara dan pada masa yang sama memberi ruang pada bukan Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Adakah disebabkan sikap antipenjajah?

Saya berpandangan tidak wujud sikap antipenjajah dalam aspek ini. Cuma kerajaan Malaysia ketika itu ingin menguasai ekonomi negara.

Atau, kerana pemilikan aset terlalu banyak yang boleh diperoleh dengan mudah dan murah sebelum kemerdekaan?

Perkara ini adalah benar. Kebanyakan syarikat British memperoleh lesen dan aset tanah dengan kadar yang amat murah semasa pentadbiran kolonial British.

Apakah usaha ini sebahagian persaingan kerana pemimpin menyedari ekonomi Malaysia dikuasai bukan Bumiputera?

Saya percaya ini bukan matlamat utama. Sebaliknya kerajaan ingin meningkatkan pegangan saham Bumiputera dan membangunkan peluang Bumiputera di sektor korporat termasuklah diberi peluang mentadbir syarikat dengan memegang jawatan di peringkat pengurusan tertinggi. Dalam masa yang sama pengambilalihan aset ini juga telah membuka ruang bagi pihak bukan Bumiputera meluaskan skop perniagaan mereka.

Apakah kesan-kesan positif daripada projek pengambilalihan ini, khususnya “serangan subuh” terhadap Guthrie dari segi ekonomi dan politik?

Banyak kesan positif daripada usaha pengambilalihan ini. Contohnya, menjelang 1980, PNB, bagi pihak bumiputera, telah melabur hampir RM2.1 bilion dalam 674 syarikat yang mewakili kira-kira 8.2 peratus daripada pemilikan ekuiti syarikat, tetapi tahap pemilikan Bumiputera sebenarnya hanya 4.2 peratus.

Pertumbuhan pemilikan bukan Bumiputera, bagaimanapun, meningkat dua kali ganda pada 1970-an kepada RM10.6 bilion dan kepada 40 peratus menjelang 1980-an, sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan ekuiti syarikat asing.

Menjelang 1978, pemilikan asing bagi sektor korporat menurun kepada 46 peratus daripada 61.7 peratus. Pelaburan syarikat asing adalah dalam industri sumber asli yang tidak boleh diperbaharui.

Apakah kesan-kesan negatif daripada usaha pengambilalihan ini?

Saya tidak nampak kesan negatif walaupun selepas pengambilalihan Guthrie, kerajaan Malaysia dituduh melaksanakan “backdoor nationalisation”. Surat khabar Inggeris banyak membuat liputan dan mengutuk tindakan kerajaan Malaysia.

Tetapi yang sebenarnya tindakan Pernas dan PNB dilakukan secara sah mengikut undang-undang dan peruntukan sedia ada dengan bantuan syarikat pelaburan terkenal di dunia iaitu Rothschild.

Selain di Malaysia, bolehkah Prof nyatakan projek pengambilalihan aset bekas penjajah di negara-negara lain? Bagaimana ia dilakukan oleh kerajaan negara itu?

Kita boleh melihat contoh di Indonesia, Myanmar dan Sri Lanka. Saya tidak mempunyai maklumat terperinci bagi setiap negara tersebut.

Contohnya Indonesianisasi – satu usaha untuk meningkatkan penyertaan dan peranan orang Indonesia (terutama golongan pribumi) dalam sektor ekonomi sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Satu contoh usaha Indonesianisasi adalah program Benteng yang diperkenalkan oleh kerajaan Indonesia pada 1950. Program ini bertujuan memberi peluang kepada pengusaha pribumi dalam bidang pengimportan barangan. Namun akhirnya berlaku fenomena “Ali Baba” apabila golongan Cina (Tionghua) yang melaksanakan perniagaan import atas nama pengusaha pribumi Indonesia atau dalam kes tertentu berlaku penjualan lesen import.

Kedua-dua usaha ini gagal sehingga membawa kepada semua aset Belanda dinasionalisasikan atau dihak milik negarakan pada 1958.

Apakah reaksi syarikat dari Britain/kuasa Eropah lain terhadap Malaysia selepas serangan mengejut terhadap Guthrie? Apakah mereka mula berhati-hati, menjual atau berbincang semula?

Reaksi pihak Britain baik kerajaan mahupun dunia perniagaan adalah lebih berhati-hati dan mengetatkan peraturan dan prosedur pengambilalihan walaupun proses ini sebenarnya pernah dilaksanakan ke atas syarikat Britain sebelum ini. Serangan mengejut ke atas Guthrie bukan merupakan peristiwa pertama pengambilalihan syarikat melalui kaedah ini.

Namun terdapat juga syarikat British yang memberi kerjasama, terdapat juga syarikat yang mengambil strategi menjual hak milik mereka di Malaysia dan melabur di negara maju dan dalam bidang ekonomi yang lebih relevan.

Boleh Prof jelaskan mengapa Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman bersikap lunak atau acuh tidak acuh untuk ambil alih kekayaan dan aset negara dipegang syarikat penjajah?

Sepanjang pentadbiran Tunku (1957-1970), berlaku kemelut dalam negara dan luar negara. Dalam negara, kita masih menghadapi ancaman komunis (Darurat 1948-60). Terdapat juga usaha ke arah pembentukan Malaysia, 1963.

Ancaman luar: Indonesia telah melancarkan kempen Ganyang Malaysia semasa Konfrontasi antara 1963 sehingga 1966. Juga berlaku peristiwa pengusiran Singapura 1965. Justeru pentadbiran Tunku harus beri perhatian pada aspek ini demi keselamatan dan perpaduan negara. Pada masa yang sama dalam tempoh ini, negara masih ketandusan golongan Bumiputera berpendidikan tinggi yang dapat memegang jawatan dalam bidang pengurusan.

Selepas pentadbiran beliau sebagai perdana menteri, mengapa Guthrie boleh menambah kepada 194,000 ekar tanah pertanian pada 1981?

Ini kerana Guthrie merupakan sebuah syarikat multinasional yang besar dengan modal serta pakar dan tenaga kerja yang mahir. Amalan ekonomi “laissez-faire” Malaysia terutama semasa pentadbiran Tunku mengalakkan pelaburan tempatan dan asing demi pembangunan ekonomi dan penciptaan pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Apakah semua ini seperti dinyatakan Profesor Tim Harper berhubung ‘unfinished business’ dalam bukunya The End of Empire and The Making of Malaya. Boleh Prof jelaskan?

Harper merujuk kepada kemerdekaan negara pada 1957 dan kemudiannya pembentukan Malaysia pada 1963 hanya tercapai dari segi politik. Namun ada “unfinished business” dari segi ekonomi yang masih kekal dikuasai oleh syarikat asing (terutamanya British), dan wujudnya ketidakseimbangan ekonomi yang membimbangkan antara Bumiputera (Melayu dan lain-lain ‘peribumi’ Malaysia) dan masyarakat bukan Bumiputera.

 

Boleh Prof jelaskan faktor mengapa syarikat bekas penjajah tidak mahu menjayakan DEB yang dilancar pada 1971, termasuk enggan serahkan aset di negara ini kepada warga tempatan?

Lihat jadual dua, ada syarikat yang cuba memenuhi kehendak DEB secara gradual tetapi tidak sepenuh hati seperti Guthrie yang telah memperkenalkan Guthrie Ropel sebagai suatu usaha untuk memenuhi kehendak DEB. Tetapi kebanyakan syarikat asing tidak puas hati dengan tuntutan 30 peratus dan juga tidak percaya dengan kemampuan syarikat tempatan dan tenaga kerja tempatan (terutama yang mahir kerana tidak dapat dinafikan masih ada ketandusan dalam kalangan Bumiputera ketika itu).

Mentaliti kolonial juga menjadi halangan bagi mereka meletakkan kepercayaan mengurus dan mentadbir dalam kalangan rakyat tempatan. Mentaliti kolonial ini wujud semasa dan berterusan selepas penjajahan British.


Pengarang :