AGENDANASIONAL

Sindiket jadikan but kereta stor dadah di parkir kondominium tumpas

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Cubaan satu sindiket pengedaran dadah mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjadikan but kereta sebagai stor simpanan dadah di lot parkir sebuah kondominium mewah terbongkar apabila polis menahan tiga lelaki dalam dua serbuan di sini, kelmarin.

Hasil serbuan tersebut, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM100,000 dan menyita sebuah kereta jenis Nissan Sentra di lot parkir di sebuah unit kondominium disewa oleh anggota sindiket berkenaan di Jalan Ampang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah, berkata dalam serbuan pertama jam 1.40 tengah hari di sebuah unit kondominium itu, polis menahan dua lelaki dan merampas sebuah beg mengandungi satu ketulan mampat ganja seberat 1.03 kilogram (kg), 6.34 gram syabu dan 110 biji pil ekstasi.

Katanya, hasil soal siasat, dua suspek itu kemudian membawa polis ke tempat parkir di aras dua kondominium dan hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemukan 45 balutan mengandungi ketulan mampat ganja seberat lebih 44kg dalam but kereta berkenaan.

“ Susulan soal siasat lanjut, polis menahan seorang lagi lelaki, diperayai orang kanan sindiket dadah itu berhampiran kawasan rumah setinggan di Sentul pada hari yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua rampasan dadah itu dianggar bernilai RM115,490 dan percaya sindiket itu aktif sejak November lepas.

Ashari berkata siasatan awal polis mendapati sindiket itu mendapat bekalan dadah dari Thailand dan dijual secara dalam talian kepada pelanggan tetap mereka di sekitar Kuala Lumpur.

“Mereka tidak membuat jualan langsung seperti kes-kes biasa. Sebaliknya, berhubung secara dalam talian dan hanya menjualnya kepada pelanggan tetap dalam kuantiti yang banyak serta berkemungkinan ia turut diedar di pusat-pusat hiburan tertentu di ibu negara,” katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berusia antara 31 dan 32 tahun itu mempunyai rekod jenayah selain turut positif dadah dan seorang daripada mereka adalah orang yang dikehendaki polis.

Kesemua mereka direman lima hari sehingga 11 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) akta sama, katanya.

Ashari berkata polis yakin ada ketua sindiket dan sedang mengesan mereka yang terbabit. – BERNAMA


Pengarang :