Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed pada sidang media di Kajang pada 5 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sindiket seleweng diesel bersubsidi lumpuh, tujuh ditahan

BANTING, 14 SEPT: Pasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih berjaya melumpuhkan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas merampas 109,700 liter diesel dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan di Jalan Klang-Banting, Sungai Jenjarom di sini semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pasukan itu turut menahan tujuh lelaki termasuk tiga warga Bangladesh serta seorang warga Myanmar, semuanya berusia 22 hingga 37 tahun, dalam serbuan kira-kira pukul 9 pagi itu.

Beliau berkata selain diesel, turut dirampas ialah 28 unit pam penyedut minyak diesel serta 19 buah lori tangki yang diubah suai, dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.6 juta.

Katanya kegiatan penyelewengan diesel subsidi yang berselindung disebalik aktiviti pemprosesan minyak hitam terpakai sejak dua tahun lepas itu lumpuh, hasil risikan selama sebulan yang dijalankan oleh pasukan Batalion 4 PGA.

“Mereka akan membeli minyak diesel bersubsidi dengan harga yang lebih murah daripada harga diesel yang ditetapkan kepada pihak industri, antaranya RM8 seliter bagi sektor perkapalan dan industri perkilangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya sindiket itu menjalankan kegiatan membeli minyak diesel dari stesen minyak sekitar Kuala Langat menggunakan lori yang telah diubah suai sebelum dipindahkan ke dalam tangki simpanan iaitu ‘skid tank’ dan tangki ‘Intermediate Bulk Containers’ (IBC) di gudang itu, untuk dijual semula kepada pelanggan mereka iaitu kalangan pengusaha industri.

Katanya semua suspek yang berperanan sebagai pemandu lori dan pekerja am itu direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kes ini telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :