Buku Sejarah Selangor 1766-1939 terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) daripada karya asal A History of Selangor 1766-1939 karangan bekas pegawai British John Michael Gullick
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Sisi menarik Kesultanan Selangor, tampung kos kereta lembu murid perempuan

Daripada kawasan hampir tiada penduduk menjadi negeri maju dengan penduduk paling padat di Malaysia. Semua kronologi menarik Selangor sepanjang 173 tahun dirakam dengan terperinci oleh bekas pegawai British John Michael Gullick menerusi buku A History of Selangor 1766-1939.

Monograf penting berkenaan membawa kisah asal penubuhan Selangor sehingga mencapai tahap sebagai pusat ekonomi Negeri-negeri Melayu Bersekutu berdasarkan pelbagai rekod bertulis yang wujud. Penulisan terbitan Malaysian Branch Royal Asiatic Society itu mendapat dukungan daripada Istana Selangor sebagai usaha memperkaya rekod sejarah negara.

Wartawan Nadiah Zamlus dan jurugambar Remy Arifin menemu bual Dr Asyraf Khalid dan Profesor Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman yang menterjemah buku penting sejarah negeri tulisan sarjana Barat itu pada 18 Ogos.

Kenapa memilih karya Gullick?

Dr Asyraf: Dia pegawai kerajaan British sebelum adanya persekutuan. Berkhidmat dalam bidang pertanian, tanah dan percukaian sehingga satu peringkat dia juga berkhidmat dengan Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) dan Tun Hussein Onn (perdana menteri ketiga). 

Jadi, dia adalah tokoh yang berpengalaman dengan perkembangan Tanah Melayu. Walaupun Gullick bukan ahli akademik tetapi aktif dengan penghasilan karya yang menceritakan sejarah. Seorang yang memang aktif menulis. 

Juga boleh melihat tatacara kerajaan sebelum kita menjadi negara merdeka. Buku ini fokus tentang Selangor dan asas pembentukan. Bukan sahaja dia boleh baca data kerajaan pada ketika itu, tapi juga ada interaksi dengan masyarakat setempat.

Dr Akmal: Sumbangan terbesar Gullick adalah dia menulis tentang sejarah Tanah Melayu, bukan sahaja Selangor tetapi tulis pasal Kedah, Kuala Lumpur. Memang dia seorang pengkaji kerana sejarah Sungei Ujong yang mungkin dianggap kecil juga ditulisnya. Tentang kenapa bukunya diterjemah, kerana juga ada sokongan daripada istana. 

Bahan bacaan ini penting kerana turut merakam pemerintahan kesultanan Selangor. Buku tulisan Gullick ini penuh nilai akademik. Walaupun dia bukan akademik terlatih yang mengajar di universiti tetapi cara penulisannya amat akademik. 

Maksudnya caranya mengumpul data kajian, pergi dekat arkib lihat rekod sejarah lama, dia berikan kita sesuatu kesarjanaan tinggi. 

Buku ini juga popular sebab tulisannya bukan sesuatu yang mengecilkan hati orang Melayu. Ada buku orientalis ini menyakitkan hati.

Apakah cabaran sepanjang proses menterjemah?

Dr Asyraf: Penulisannya tiada kurang. Bila melihat sumber diambil Gullick khususnya berkali-kali memetik perangkaan penduduk Selangor. Untuk saya yang dilatih dalam bidang statistik, ini adalah fakta yang mengagumkan. 

Begitu juga ada istilah daripada bahasa Inggeris yang kita kena berusaha cari padanan dalam bahasa Melayu. Contoh, dalam isu pertabalan Sultan Muhammad Shah, dikatakan Baginda bukan kerabat dekat tetapi digemari dalam kalangan ‘Assembly of Notables’. 

Walaupun istilah itu (Assembly of Notables) sudah biasa, tapi perlulah didaftar dengan kata Melayu. Namun pada masa sama, kita tidak mahu mereka-reka. Jadi, polemik istilah ini bimbang mencetuskan masalah kelompongan. 

Bimbang disebabkan itu menjarakkan pemahaman dengan pembaca yang tidak berapa kenal dan faham. Oleh itu perlu mencari istilah lebih mudah supaya pembaca lebih faham maksudnya.

Dr Akmal: Cabaran terjemah teks sejarah ini adalah benda yang tak ada depan mata. Namun cara penulisannya mudah faham. Tetapi bagi aspek teknikal, banyak yang perlu kami perlu buat kajian lebih seperti penerangan Gullick mengenai perlombongan. 

Agak berpeluh juga menerangkan teknik melombong bijih. Walaupun ini buku sejarah, tetapi kupasannya menarik sebab bukan sekadar terang secara umum. Dia jelaskan dengan cukup terperinci. 

Misalnya penceritaan pembuatan kapal Bugis, bentuknya, fungsinya. Kami sebagai penterjemah bukan daripada bidang perkapalan sudah tentu sukar hendak faham. 

Tapi kita belajar dan cuba cari. Juga berkaitan unit ukuran tertentu. Tidak tahu juga sebenarnya nilai duit yang dipakai pound atau kadangkala dolar. 

Tapi dolar itu pula, Amerika Syarikat atau Singapura? Contoh elaun sultan katanya dulu 1,000 dolar. Tapi dolar mana satu? Kalau dulu 1,000 dolar dikatakan sudah cukup untuk biaya perbelanjaan ahli keluarga mereka. 

Sebab masa itu orang pergi haji pun 50 dolar. Jika kita tidak tahu bacaan sebetulnya, strategi penterjemah seperti kami ialah kekalkan sahaja ayat asal.

Ceritakan kisah menarik dalam buku ini?

Dr Asyraf: Gullick menceritakan kisah macam mana didatangkan kerajaan diraja. Disebabkan kesultanan Selangor datang daripada pembesar Bugis pada ketika itu. Menariknya disebutkan beza kesultanan Melayu sedia ada dan Bugis ini. 

Dari segi budaya, pelantikan Bugis dan pelantikan kuasa kesultanan Melayu berbeza. Bugis di Selangor datang dengan keperwiraan, aktiviti perkapalan. 

Kuasa melindungi kerabat Melayu, Kedah. Tapi bila datang Raja Lumu sehingga ditabalkan. Kemudian Baginda diiktiraf sebagai pemerintahan berdarjat. 

Dari situ kita lihat macam mana Selangor terbentuk dan ada sultan di atasnya. Ada transisi, ada ciri-ciri yang datang dengan kekuatan dan juga tidak ketinggalan wujudnya masalah. Menarik dibaca tentang Selangor ini, macam mana boleh jadi negeri yang kaya dengan hasil lombong, bercucuk tanam. 

Jadi ia bukan bercerita tentang sejarah sahaja. Tetapi juga daripada perdagangan negeri yang menjadikan Selangor cukup kaya berbanding dengan negeri lain dan ke depan. Uniknya Selangor, perwatakan negeri itu menjadikan wilayah terkedepan dan cepat maju.

Dr Akmal: Bila baca buku sejarah, kita berada dalam alam nusantara, bukan negara. Bila cakap dunia Melayu, ada Aceh, Riau, keadaan berbeza dengan hari ini. Begitu juga hubungan antara pentadbiran Melayu sangat rapat. 

Antara sultan-sultan, Sultan Selangor rapat dengan Sultan Kedah dan Pahang. Satu alam yang menarik. Menerusi buku ini juga, kita dapati kemelayuan konsep yang agak lewat. Masa itu Sultan Sir Abdul Samad (Sultan Selangor keempat), Baginda tidak mengaku Melayu, tapi mengaku Bugis. 

Begitu juga penduduk tidak perkenal diri mereka Melayu tapi masing-masing punya etnik, saya Minangkabau, Bugis, Jawa. Tiada sesuatu menyatukan mereka. Maksudnya nasionalisme sesuatu bangsa timbul lewat. 

Buku ini juga membolehkan kita lihat perkembangan dalam masa 200 tahun peradaban manusia di Selangor dari tempat tak ada orang mahu duduk tapi jadi paling padat dalam Malaysia. Kisah menarik lain ialah cerita tentang sultan. 

Sultan Muhammad Shah ditulis sebagai orang yang besar tinggi, boleh lempang harimau, lembu pun Baginda boleh tolak. Juga diceritakan Sultan Sir Abdul Samad yang memerintah lama, dikatakan seorang yang gagah, rajin. Kalau bertani memang hebat. Rajin tolong orang kampung bagi duit untuk bertani. 

Sementara Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah pula ditulis sebagai orang yang kuat agama. Baginda juga galakkan budak perempuan pergi sekolah. Baginda bayar kereta lembu untuk jadi pengangkutan supaya budak perempuan dapat ke sekolah. 

Ada juga fakta yang kita kena tahu bahawa sekitar 1880 hingga 1890 adat budaya dan Islam kuat. Zaman dahulu hubungan lelaki perempuan agak terkawal dan terjaga. Anak perempuan tak boleh diintip dipandang begitu sahaja. 

Dahulu orang Sumatera datang, buka hutan dan bertani, mereka anggap Selangor hanya serambi sahaja. Bertani kumpul duit dan pergi tunai haji. Kemudian pulang semula ke tanah air mereka. Malah turut dicerita bagaimana orang Jawa rajin. Kalau buat padi menjadi. Kita menterjemah jumpa benda ini tak bosan. Bagi saya seronok.

Ada perbezaan antara penulis tempatan dan luar mengenai sejarah Selangor?

Dr Asyraf: Memang ada perbezaan, lagi-lagi kisah budaya suku kaum itu sendiri. Kadang-kadang ada bercerita mengenai kesaktian sesetengah tokoh, tetapi Gullick cuba imbangkan. Contohnya, British mengatakan ada sultan kuat bercandu, tetapi Gullick melihat dalam kalangan Melayu, sultan ini efektif. Begitu juga isu seperti pemilikan tanah, perlombongan. Pembentukan geopolitik, macam mana pergeseran, jadi semuanya diimbangkan. 

Gullick juga cerita, sultan terpaksa menangguhkan untuk pergi haji kerana kosnya tinggi. Kerana diceritakan jika hendak pergi, kosnya tinggi dan tempohnya agak lama. 

Sehingga perlu minta bantuan kerajaan Inggeris pada ketika itu, jadi ia mendatangkan kelompongan pada pemerintahan. Bila lihat semula, ada imbangan daripada kisah-kisah ini. Cantik perbandingannya.

Dr Akmal: Tapi saya rasa kayu ukurnya sama sahaja. Cuma ada benda-benda yang orang Melayu tak dapat tulis, benda yang kita rasa sensitif terutama membabitkan sultan. 

Jadi itu sudah tentu jadi kelebihan kepada penulis barat. Bila nak mengupas mahupun menyentuh. Yang mana, kita tak boleh sentuh.

Bagaimana pandangan mengenai buku ini selepas menterjemahnya?

Dr Asyraf: Buku ini cara penulisannya bukan kosong atau bosan. Tapi ada perasa. Dari segi perwatakan. Karisma. Saya boleh kata kisah ini ‘kaya’. Merujuk kepada situasi yang sudah berlaku. 

Malah, buku ini sebenarnya dekat dengan kita. Dia ceritakan Gombak, Kuala Lumpur, Damansara. Namanya sama, dikisahkan dalam buku. Tapi suasana cukup berbeza. Sejarah adalah kisah yang tak berlaku depan mata. 

Contoh fenomena Mat Kilau. Dia ada menariknya kerana tak berlaku pada zaman kita. Sejarah adalah alam berbeza, ia bukan realiti tapi kisah yang dirakam. 

Bukan juga fantasi kerana ada fakta. Bagi saya kalau fantasi itu pun sudah dikata menarik, apatah lagi kisah sejarah begini yang terakam dengan fakta yang sebenar. Malah ia dirakam dengan secara teratur dan objektifnya lebih adil.

Dr Akmal: Saya rasa memang cara penulisan Gullick adalah penulisan tahap sarjana tinggi. Olahannya tak boleh lari daripada naratif penceritaan. Melalui buku ini kita tahu cara orang Inggeris pandang kita. 

Untuk mereka yang mahu tahu apa berlaku dalam masyarakat dalam tempoh 200 tahun ini, dan melihat betul-betul, bacalah. Kita tidak akan dapat fakta yang sama dengan apa yang dipelajari (sejarah) ketika bersekolah. Tak sama. 

Walaupun ditulis bukan Melayu tapi kita dapat perspektif yang ikhlas daripada dia. Dia menulis bagaimana awalnya pentadbiran British adalah untuk ‘membantu’ tapi bila datang Frank Swettenham (Residen-Jeneral pertama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu) dan sehinggalah ke arah 1930, baru nampak penjajahan. 

Waktu itu semua mereka mahu kawal. Mula-mula bagi nasihat, akhirnya terus menguasai segala. Jadi bagi orang ingin tahu latar belakang sejarah daripada pelbagai perspektif, seronok baca buku begini.

Apakah pengajaran yang kita dapat selepas membaca buku ini?

Dr Asyraf: Membawa kita mengenali asal-usul. Melayu, Bumiputera, Cina dan India semuanya ditulis memain peranan kepada pembangunan masyarakat Selangor hari ini. Pembaca akan lihat ciri-ciri ini. Tapi saya rasa buku ini bukan hanya untuk melihat jati diri Melayu sahaja tapi kaum lain juga. 

Kita datang sini (Tanah Melayu) dan kalau dikatakan pendatang memainkan peranan cukup penting untuk bangunkan masyarakat majmuk sekarang. Masing-masing datang dengan kepakaran masing-masing. 

Semuanya sudah berperanan memajukan masyarakat moden Selangor. Bertuahnya saya menterjemah karya ini. Bila wacana ini dibawa kepada masyarakat lebih umum, kita boleh sama-sama amati jati diri dalam kemajmukan kesepaduan yang diimpikan masyarakat kita selama ini.

Dr Akmal: Satu benda, antaranya adalah konsep yang selama ini kita pegang, mula ada persoalan. Melihat daripada skop lebih besar. Apa itu Melayu, pendatang, raja, sultan, penjajah? Ia lebih menyegarkan. 

Kenal perspektif berbeza. Yang kadang-kadang kita rasakan sesuatu itu atas dasar muafakat sahaja, yang kita kata kita Melayu, sedangkan dalam kita ada Minangkabau, Bugis. Ini semua di bawah nama Melayu. Guna identiti yang sama. 

Tetapi jawapannya adalah muafakat. Begitu juga dengan pentingnya kesultanan ke atas Melayu. Bila baca buku ini, kita tengok, kalau tak ada sultan yang jadi tempat dituju orang tempatan, mungkin British sudah perkotak-katik kita, tapi sebab ada sultan, kita dilindungi. 

Bila baca, barulah tahu sultan bukan sekadar lambang. Tapi melindungi. British macam mana pun tak akan berani melakukan sesuatu melainkan selagi tak dapat persetujuan sultan. Melayu waktu itu lemah, tapi Islam agama paling dilindungi. Banyak fakta dalam buku ini, kita kena buka mata dan hati.


Pengarang :