Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berucap ketika program penyerahan simbolik hak milik strata rumah pangsapuri kos rendah di Balai Masyarakat PJS 7/15, Subang Jaya pada 16 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Sistem pengesanan banjir mudahkan penduduk Subang Jaya buat persediaan

SUBANG JAYA, 17 SEPT: Sistem pengesanan banjir dipasang pihak berkuasa tempatan (PBT) memudahkan penduduk Subang Jaya membuat persediaan menghadapi kemungkinan banjir susulan peralihan monsun.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata sistem di bawah pemantauan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memberi amaran secara automatik sekiranya hujan lebat di sesebuah kawasan mencapai paras bahaya.

“Satu khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dihantar oleh pihak majlis kepada jabatan bencana mereka. Penduduk kemudian dimaklumkan supaya mengelak daripada berada di kawasan terbabit.

“Jadi semua pihak perlu berhati-hati dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran hak milik strata kepada 420 keluarga Pangsapuri PJS 7/15 di Balai Masyarakat, Bandar Sunway di sini semalam.

Pada Rabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bersiap siaga bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut dengan jangkaan taburan hujan meningkat mulai Oktober hingga Disember.

Dato’ Haris Kasim menerusi surat arahan berkata persiapan itu bagi menghadapi kemungkinan banjir, banjir kilat, ribut dan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan.

Mengulas lanjut, Michelle Ng berkata langkah jangka panjang bagi mengurangkan kesan perubahan iklim harus diambil selain mengambil iktibar daripada banjir besar melanda Selangor akhir tahun lalu.

“Walaupun dahulu taburan hujan tinggi tetapi kali ini lebih banyak. Bukan itu sahaja, cuaca panas ketika ini juga lebih panas berbanding sebelum ini.

“Jadi kita kena ambil tindakan, bukan sahaja kena berhati-hati. Kita kena lihat pelan jangka panjang untuk memperlahankan proses perubahan iklim,” katanya lagi.


Pengarang :