Sebahagian kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Skim insurans percuma ringan beban, lindungi semua rakyat Selangor

SHAH ALAM, 7 SEPT: Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) yang ditawarkan kepada penduduk negeri ini seawal usia 30 hari meringankan beban mereka untuk mendapat perlindungan.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fadhlina Sidek berkata langkah itu tepat ketika banyak rakyat hidup dalam kerentanan sosial yang meruncing pascapandemik Covid-19.

“Maka inisiatif sekuriti sosial yang kalis kejutan dengan objektif perlindungan sosial merangkumi aspek pemerkasaan wanita selain pengurangan kemiskinan, kerentanan serta peningkatan pendapatan yang mampan cukup relevan ketika ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atas inisiatif yang cukup progresif dan inklusif ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut yakin skim tersebut dapat memberi perlindungan penuh kepada seluruh rakyat Selangor khususnya ketika berdepan keadaan sukar dan mencabar ketika ini.

Pada 30 Ogos, Amirudin memaklumkan seramai enam juta rakyat bakal menerima perlindungan insurans am berkumpulan dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Ditawarkan kepada penduduk sehingga usia 80 tahun, inisiatif INSAN membantu setiap individu menerima perlindungan RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu boleh didaftar mulai 1 Oktober ini.


Pengarang :