M Kamalesswaree Fiona, 35 melihat risalah Skim Hijrah Selangor ketika sidang media berkenaan pembiayaan khas kepada peniaga India sempena perayaan Deepavali di Bilik Mesyuarat Semarak Api Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Skim pinjaman i-Bermusim untuk usahawan India sempena Deepavali

SHAH ALAM, 12 SEPT: Buat julung kalinya Kerajaan Negeri memperkenalkan pinjaman khas i-Bermusim khusus untuk usahawan India sempena sambutan Deepavali, Oktober ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata kerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) itu menyediakan pinjaman bermula RM1,000 hingga RM20,000 kepada golongan berkenaan.

“Pinjaman ini khusus untuk peniaga komuniti India yang mahu berniaga di Bazar Deepavali atau rumah.

“Inisiatif Kerajaan Negeri ini dirangka khusus untuk mengurangkan beban mereka terutama yang memerlukan modal tambahan,” kata Rodziah Ismail pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, antara syarat permohonan i-Bermusim adalah rakyat Selangor atau bermaustatin lebih 10 tahun dan tempoh pembiayaan sehingga 25 minggu atau enam bulan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail ketika sidang media berkenaan pembiayaan khas kepada peniaga India sempena perayaan Deepavali di Bilik Mesyuarat Semarak Api Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, permohonan mula dibuka hari ini hingga 14 Oktober dan borang boleh diperolehi di pejabat Hijrah atau secara dalam talian.

“Bagi peniaga bazar, kita sediakan pinjaman RM1,000 hingga RM20,000, namun bagi peniaga selain bazar kita hadkan kepada RM5,000 sahaja,” katanya.

Skim pinjaman i-Bermusim mula diperkenalkan sejak awal tahun ini sempena kedatangan Ramadan dan Syawal serta musim buah-buahan.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November tahun lalu mengumumkan beberapa penambahbaikan skim pembiayaan Hijrah.

Dato’ Seri Amirudin Shari antaranya mengumumkan dana RM120 juta untuk memberikan pembiayaan kepada usahawan selain mewujudkan skim baharu yang menyediakan pinjaman sehingga RM100,000 bagi mengembangkan perniagaan.


Pengarang :