Seramai 54 daripada 129 keluarga yang menghadiri program bancian asnaf di PPR Lembah Subang 2, Subang Jaya pada 27 September 2022 dikenal pasti layak menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Skuad LZS turun padang jejak asnaf, daftar 54 keluarga di Subang Jaya

SHAH ALAM, 28 SEPT: Sebanyak 54 keluarga dikenal pasti layak menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) susulan program turun padang ke PPR Lembah Subang 2, Subang Jaya semalam.

Program kelolaan Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) Petaling dengan kerjasama wakil penduduk bertujuan menjejaki seberapa ramai asnaf fakir miskin yang baru untuk dibantu.

“Hasil daripada program ini, sebanyak 54 keluarga baru layak didaftarkan sebagai asnaf fakir miskin dan akan dibantu dengan bantuan dan agihan zakat yang selayaknya.

“Sambutan baik daripada penduduk setempat dan mereka amat berterima kasih kepada LZS atas usaha yang dijalankan. Terima kasih kepada pengeluar zakat, anda hero asnaf,” tulisnya di Facebook.

Baru-baru ini, sebanyak 60 keluarga di Hulu Langat turut dikenal pasti layak menerima bantuan sama.

Pada 22 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar berkata seramai 600 keluarga berjaya keluar daripada senarai asnaf antara Januari hingga Jun lalu dan tidak lagi memerlukan bantuan LZS.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, agensi itu turut memperuntuk RM69.3 juta tahun lalu menerusi program Zakat Selangor Peduli yang menyediakan 19 inisiatif bantuan.


Pengarang :