AGENDAJENAYAH

Suami wanita mangsa culik di Tumpat ada kaitan sindiket dadah

KOTA BHARU, 15 SEPT: Polis menahan tiga individu termasuk suami kepada mangsa yang diculik di rumahnya dekat Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di Tumpat, Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata siasatan mendapati suami kepada mangsa berusia 36 tahun itu disyaki berselisih faham dengan ahli sebuah sindiket pengedaran dadah sama yang disertai lelaki itu.

“Polis telah menjalankan operasi dalam kes itu sebelum menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita semasa mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat semalam.

“Pemeriksaan turut mendapati suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah manakala seorang lagi individu mempunyai tujuh rekod kes sama,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata berdasarkan siasatan juga mangsa dipercayai mengetahui penglibatan suaminya dalam sindiket pengedaran dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menjumpai kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai digunakan suspek semasa melarikan mangsa di pangkalan haram Kuala Jambu, Pasir Mas.

“Kita sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam usaha untuk menyelamatkan dan membawa pulang mangsa. Setakat ini, mereka (pihak berkuasa Thailand) memberi kerjasama yang baik dalam kes ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang wanita berusia 36 tahun dilaporkan hilang dipercayai diculik oleh empat suspek lelaki menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.

-BERNAMA


Pengarang :