Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berucap ketika majlis penutup Kem Kontinjen Selangor ke Sukan Malaysia (Sukma) 2022 Fasa 1 di Hotel Grand Dorset, Subang Jaya pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

SUKMA 2022: Atlet angkat berat, hoki wanita Selangor yakin menang emas

SUBANG JAYA, 2 SEPT: Skuad hoki wanita dan atlet angkat berat Selangor yakin memperoleh emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 nanti.

Ini susulan dua sukan berkenaan antara sukan yang disasarkan Selangor memperoleh 40 emas pada kejohanan berlangsung 16 hingga 24 September ini.

Pemain hoki, Noratasya Adila Norhisam, 22, berkata pasukannya akan mempertahankan emas dimenangi pada SUKMA di Perak pada 2018.

Noratasya Adila Norhisam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini adalah tahun terakhir dalam pasukan dan pastinya kami akan berikan yang terbaik meskipun diakui akan berdepan cabaran besar bertemu Terengganu pada peringkat kumpulan.

“Kami akan berusaha untuk pertahankan emas. Kami yakin latihan dijalani selama ini akan membuahkan hasil walaupun dua tahun sebelum ini kami berlatih berasingan akibat Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengikuti Kem Kontinjen Selangor ke Sukma 2022 di Hotel Grand Dorsett di sini, hari ini.

Sementara itu atlet angkat berat, Muhammad Rashdan Mat Sulaiman, 22, berkata dia akan bekerja keras untuk memenangi emas selepas terpaksa melupakan SUKMA di Perak pada 2018 akibat kecederaan.

Muhammad Rashdan Mat Sulaiman. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Insya-Allah saya akan beri yang terbaik demi Selangor, saya akui agak berat apabila diletakan sasaran tersebut namun ia dijadikan motivasi untuk saya meraihnya.

“Dorongan dari ibu bapa, jurulatih, kawan-kawan dan guru-guru menjadi pembakar semangat buat saya,” katanya.

Majlis Sukan Negeri (MSN) sebelum ini yakin kontinjen Selangor mampu memperoleh lebih 40 pingat emas.

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata sasaran itu berikutan Selangor pernah meraih lebih 50 pingat emas dalam temasya sukan yang sama sebelum ini.


Pengarang :