Atlet petanque Selangor Ayzek Hakimi Safingan beraksi dalam acara Men Shooting dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Arena Petanque, Kuala Lumpur pada 17 September 2022. Foto Facebook MSN Selangor
AGENDASUKANKINI

SUKMA: Bangkit tebus kecewa, atlet petanque hadiah emas untuk Selangor

SHAH ALAM, 20 SEPT: Ayzek Hakimi Safingan menebus kekalahan pada Sukan Malaysia 2018 dengan menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 Sabtu lalu.

Atlet petanque acara Men Shooting berasal dari Sepang itu berkata emas diraih adalah hadiah selepas beliau bangkit daripada kesilapan lalu dan tidak mahu mengulanginya.

“Pada 2018, saya terpaksa akur apabila terkandas awal kerana kalah pada pusingan kedua disebabkan kesilapan sendiri yang tidak memberi komitmen sebaiknya dalam individu walaupun berpasukan memperoleh pingat emas.

“Namun, saya tekad bangkit semula pada edisi kali ini dan mahu menebusnya dengan mendapatkan pingat emas,” katanya kepada SelangorKini.

Atlet berusia 19 tahun itu menyifatkan tahun ini sebagai tahun kebangkitan kerana selain pingat emas pada SUKMA ini, beliau juga berjaya meraih pingat gangsa triple lelaki di Sukan SEA Hanoi dan Sukan Universiti di Thailand.

Sementara itu, Siti Natasha Mohd Basri, 22, pemenang pingat emas acara BMX wanita berkata kejayaan diraihnya kelmarin adalah hadiah sempena penglibatan terakhirnya dalam SUKMA.

Menurutnya, beliau berjanji memberikan yang terbaik pada temasya kali ini selain mahu bangkit daripada kekecewaan selepas gagal pada SUKMA 2018 di Perak.

“Saya sememangnya sasarkan pingat emas, namun kalah pada perlumbaan saringan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Namun, saya perlu melupakan insiden itu dan bangkit demi karier.

“Selain latihan bersama jurulatih, saya ada buat tambahan untuk tingkatkan prestasi. Kejayaan ini buat arwah ayah, ibu, jurulatih dan mereka yang sentiasa menyokong saya,” katanya.

Sebelum ini, Selangor juga meraih pingat emas yang disumbangkan Muhammad Aliff Aiman Mohd Hassri bagi acara memanah, Mandy Cebelle Chen (wushu), M Gogulnath (kumite kategori individu lelaki bawah 75 kilogram), Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (lumba lari 200 meter) dan pasukan karate lelaki.

Selangor menyasarkan 40 pingat emas, 40 perak dan 45 gangsa untuk edisi kali ini yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September ini.

Seramai 490 atlet dan 75 jurulatih mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA ke-20.


Pengarang :