Mandy Cabelle Chen mengibar bendera Selangor selepas menyumbang pingat emas dalam acara wushu taijiquan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 pada 15 Sept 2022. Foto Twitter MSN Selangor
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

SUKMA: Raih emas acara bukan tumpuan, Selangor sasar tambahan pingat

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kontinjen Selangor menyasar lebih banyak emas minggu ini selepas berjaya meraih tujuh pingat itu dalam acara bukan tumpuan minggu lalu.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata antara acara yang menjadi sasaran pada Sukan Malaysia ke-20 (SUKMA) minggu ini ialah renang, menembak dan bola sepak.

“Beberapa acara sukan yang disasar pingat emas akan bermula hari ini. Kita jangka Rabu atau Khamis ini akan ada penambahan pingat emas untuk kontinjen Selangor.

“Malah, kita juga berbangga apabila pingat emas disumbang minggu lalu adalah antara sukan yang bukan sasaran. Ini merupakan bonus kepada Selangor khususnya Majlis Sukan Negeri (MSN),” katanya kepada SelangorKini.

Negeri ini berada di kedudukan ke tujuh setakat ini dengan memenangi tujuh pingat emas pada temasya yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur sejak 16 September lalu.

Atlet Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal merupakan penyumbang pingat emas ketujuh semalam menerusi acara lumba lari 200 meter wanita.

Kontinjen negeri memulakan cabaran dalam sukan dwitahunan itu dengan memperoleh emas pertama disumbangkan atlet wusyu, Mandy Cebelle Chen.

Selangor menyasarkan 40 pingat emas, 40 perak dan 45 gangsa untuk edisi kali ini dengan 490 atlet dan 75 jurulatih mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan.


Pengarang :