Atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal memenangi pingat emas acara lumba lari 200m wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 18 September 2022. Foto Facebook MSN SELANGOR
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

SUKMA: Saingan sengit, kurang pengalaman tidak patah semangat raih emas

SHAH ALAM, 20 SEPT: Berdepan saingan sengit dalam acara lumba lari 200m wanita kelmarin bukan halangan buat atlet negeri menghadiahkan emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20.

Namun, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, 18, mengakui bukan mudah baginya yang tiada pengalaman dalam sebarang temasya untuk bersaing dengan atlet lain yang memberi saingan hebat.

“Lawan saya pada acara kali ini bagus kerana rekod mereka baik dan memberi saingan hebat, namun jurulatih memberi keyakinan sepenuhnya bahawa saya mampu lakukannya.

“Saya tekad buat yang terbaik dan berjaya meraih emas dengan tingkatkan pecutan pada saat akhir serta berjaya menghabiskan dengan masa 24.83 saat,” katanya kepada Selangorkini.

Atlet yang berasal dari Kuala Langat turut menjadikan kejayaan dalam SUKMA kali ini sebagai pendorong semangat untuk terus maju dalam bidang diceburi.

“Saya bakal sertai Sukan SEA di Kemboja pada tahun hadapan dan sasar hadiah pingat emas kepada kontinjen kebangsaan,” katanya lagi.

SUKMA ke-20 yang tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 berlangsung mulai 16 hingga 24 September membabitkan 490 atlet dan 75 jurulatih dalam 30 jenis sukan dipertandingkan.

Selangor menumpukan kedudukan tiga teratas dengan sasaran 40 emas, 40 perak dan 45 gangsa. Acara renang serta olahraga masih menjadi tumpuan untuk menyumbang pingat.

 


Pengarang :