Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pemenang pingat acara renang 100 meter gaya bebas lelaki akhir sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

SUKMA: Selangor masih berpeluang capai sasaran 40 emas

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Dato’ Menteri Besar yakin sasaran 40 pingat emas oleh kontinjen Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dapat dicapai meskipun temasya sukan tersebut akan berakhir beberapa hari lagi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata persaingan atlet dalam kejohanan kali ini sangat sengit sekali gus menyebabkan beberapa sasaran pingat emas menerusi beberapa acara gagal dicapai.

“Saya percaya kita akan cuba dapatkan 40 pingat emas seperti yang disasar walaupun diakui persaingan dalam beberapa acara sangat sengit.

“Kita masih lagi dalam sasaran, mungkin ada pingat yang kita terlepas tetapi ia boleh digantikan dengan acara sukan lain,” katanya pada SelangorKini.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan acara renang dan menyampaikan pingat di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata atlet yang bertanding berusaha berhabis-habisan untuk memastikan sasaran 40 pingat emas dapat dicapai.

“Dalam tempoh hanya empat hari, ia agak sukar tetapi tiada yang mustahil dalam sukan,” kata Mohamad Nizam Marjugi.

Setakat jam 6 petang semalam, Selangor berada di kedudukan kelapan selepas memperoleh 11 emas, 23 perak dan 17 gangsa.

Selangor menyasarkan kedudukan tiga teratas dalam SUKMA ke-20 yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September.


Pengarang :