Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima bendera daripada wakil kontinjen Selangor Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 8 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SUKMA: Selangor sasar kedudukan tiga teratas dengan 40 pingat emas

SHAH ALAM, 8 SEPT: Selangor menyasarkan berada pada kedudukan tiga teratas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September ini.

Dato’ Menteri Besar berkata untuk berada pada kedudukan itu Selangor meletakkan sasaran 40 pingat emas, 40 perak dan 45 gangsa untuk edisi kali ini.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sasaran itu ditetapkan berdasarkan konsistensi dan perkembangan semasa atlet-atlet serta mempertimbang faktor-faktor luaran yang boleh menyumbang kepada kejayaan.

“Setiap pasukan bertanding mempunyai peluang sama rata dan percaya kita boleh dan mempunyai keupayaan itu. Majlis Sukan Negeri (MSN) sangat konservatif dan sasaran ditetapkan realistik walaupun perkiraan jurulatih Selangor dapat angka lebih.

“Kita tiada mana-mana sasaran tetapi secara lazimnya seperti kejohanan sebelum ini, renang masih menjadi tumpuan, sukan olahraga, basikal, memanah dan menembak boleh menyumbang pingat emas,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penyerahan bendera Kontinjen Selangor di Kompleks Generasi Muda & Sukan Selangor di sini.

Turut berlangsung penyerahan watikah lantikan ketua kontinjen SUKMA ke-20 kepada EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Mohamad Zahri Samingon sebagai timbalan ketua kontinjen.

Dalam majlis tersebut, seramai 30 Ahli Dewan Negeri (ADN) turut dilantik sebagai bapa-bapa angkat pasukan SUKMA yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September.


Pengarang :