Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) berkenan menerima cenderahati ketika Majlis Perasmian Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang di Klang pada 5 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor rasmi terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang

KLANG, 5 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) di sini hari ini.

Gerbang pelayaran utama itu kini dimiliki Klang Port Management Sdn Bhd dan Westports Malaysia Sdn Bhd (Westports) selepas diambil alih daripada Boustead Holdings Bhd.

Baginda dalam titah ucapannya berbangga terhadap pemilikan baharu itu dan menganggap ia detik bersejarah berikutan terminal tersebut lama tidak beroperasi akibat Covid-19.

“Ini merupakan detik bersejarah dan kejayaan yang boleh dibanggakan kerana sejak Covid-19 melanda, terminal ini lama tidak beroperasi hingga menjejaskan kemasukan pelancong khususnya di Selangor.

“Beta melihat pengambilalihan dan penjenamaan semula terminal pelayaran ini tepat pada masanya ketika negara sedang berhadapan krisis ekonomi yang meruncing kesan pandemik,” titah Baginda.

Turut bersama Baginda ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permasuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi PKCT Dato’ Azman Shah Mohd Yusof.

Beroperasi sejak 2015, PKCT menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pelabuhan untuk kapal persiaran serta kapal armada tentera laut di kawasan seluas 69.8 ekar.

Terminal itu turut dilengkapi ruang berhawa dingin, jambatan penghubung untuk naik dan turun kapal selain laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan antara dermaga serta terminal.

Turut disediakan ialah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kaunter pertukaran wang asing, kedai serbaneka, kedai cenderamata dan hadiah serta kedai bebas cukai.


Pengarang :