Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor tarik darjah kebesaran Najib, Rosmah

SHAH ALAM, 12 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hari ini menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkuat kuasa serta-merta setelah berunding dengan ahli Dewan Diraja Selangor dalam mesyuarat khas di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Baginda turut menarik semula Darjah Kebesaran bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd Arif Ab Rahman.

“Penarikan balik dan pembatalan keahlian ini selaras kuasa prerogatif Baginda bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor,” kata Dato’ Haris Kasim.

Beliau berkata Najib yang dikurnia Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama pada 2004 didakwa di mahkamah atas pertuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pecah amanah.

Jelasnya, keputusan mahkamah yang mengekalkan hukuman terhadapnya menyebabkan penarikan itu dibuat termasuk Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor Kelas Kedua yang dikurnia pada 1992.

Rosmah yang dikurnia Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama pada 2005 pula didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah.

“Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

“Atas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan, keahliannya sebagai penyandang S.P.M.S. yang membawa gelaran Datin Paduka Seri ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa 12 September,” kata Haris.

Sementara itu, katanya, Mohd Arif yang dikurnia Keahlian Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2005 disabitkan atas pertuduhan rasuah.

Menurutnya, beliau turut menerima gelaran Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah Kelas Ketiga pada 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor Kelas Keempat pada tahun 2001.

“Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa 12 September 2022,” katanya.


Pengarang :