Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima kunjungan Ratu Elizabeth II. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri zahir takziah kemangkatan Ratu Elizabeth II

SHAH ALAM, 13 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan takziah kepada kerabat diraja Britain dan rakyat negara itu atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin bertitah Ratu Elizabeth II akan sentiasa diingati dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang sebagai seorang raja yang mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Pemerintahannya dicirikan oleh rasa kewajipan, dedikasi dan komitmen dalam berkhidmat kepada negaranya dan Komanwel.

“Baginda dikagumi dan dihormati di seluruh dunia sebagai tokoh kestabilan dan perpaduan sepanjang hayat yang membawa perubahan besar,” menurut kenyataan di Selangor Royal Office di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan Ratu Elizabeth II pernah melawat Malaysia beberapa kali iaitu pada 1972, 1989 dan 1998, serta bertemu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

“Pada tahun 1972, baginda menghadiri majlis makan tengah hari bersama Almarhum Sultan Salahuddin di Istana Alam Shah di Klang.

“Pada 1989, sebagai sebahagian daripada majlis ke-11 Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), baginda melawat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan minum petang di Istana Alam Shah,” katanya.

Sultan Sharafuddin turut berbesar hati apabila dijemput ke HMS Britannia untuk santapan makan malam bersama Ratu Elizabeth II ketika kapal diraja itu berlabuh di Pelabuhan Klang pada 1972 dan 1989.

“Baginda sentiasa bermurah hati dan terlibat dalam perbincangan untuk terus meningkatkan hubungan dua hala dengan rakyat Selangor dan Malaysia,” katanya.

Pada 9 September lalu, Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland dan dijangka akan disemadikan pada 19 September ini di London.


Pengarang :