Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah ketika merasmikan Port Klang Cruise Terminal, Pelabuhan Klang pada 5 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan titah pelihara badan kehakiman dari pengaruh dan tekanan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua pihak supaya memelihara nama baik badan kehakiman supaya tidak dicemari pengaruh dan tekanan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengingatkan pihak eksekutif supaya mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan.

“Pepatah ada menyatakan apabila seseorang hakim membuat keputusan, ia hendaklah diputuskan atas dasar “without fear or favour” (tanpa rasa takut atau pilih kasih),” titah Baginda.

“Penghakiman yang dibuat tanpa desakan atau pengaruh menggambarkan satu bentuk sistem pentadbiran keadilan yang adil dan saksama. Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili.”

Baginda bertitah rakyat perlu memberi kepercayaan penuh kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan tidak berasas, fakta atau alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

Titah Baginda tohmahan akan mengundang persepsi negatif, menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat selain boleh menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa.

Sultan Selangor juga menyeru rakyat menghormati kedaulatan undang-undang yang merupakan teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan.

“Perlembagaan Persekutuan meletakkan martabat institusi kehakiman di satu tahap tinggi sebagai sebuah badan kehakiman yang bebas dan berwibawa.

“Badan kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda bertitah pelantikan hakim mahkamah persekutuan, mahkamah rayuan dan mahkamah tinggi dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat perdana menteri.

Titah Baginda lagi perdana menteri juga perlu berunding dengan ketua hakim negara dan mendapat pengesyoran daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sebelum memberi nasihat.

“Proses lantikan hakim yang perlu melalui proses teliti ini menunjukkan badan kehakiman berbeza dengan institusi kerajaan lain dan menggambarkan kepentingannya dalam sistem pemerintahan,” titah Baginda.


Pengarang :