AGENDANASIONAL

Surat tular risiko culik inisiatif sekolah beri peringatan

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Surat tular di media sosial bertajuk makluman risiko culik dari sebuah sekolah di Batu Caves, di sini, merupakan inisiatif sebagai peringatan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya mengesan surat berkenaan pada 4.50 petang, yang ditulis Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Taman Samudra kepada ibu bapa dan penjaga sekolah.

Beliau berkata surat tersebut merupakan inisiatif pihak sekolah terbabit dan sekolah itu juga mengesahkan tiada sebarang kejadian culik berlaku.

“Polis mengesahkan telah menerima dua laporan setelah tularnya surat tersebut daripada ibu bapa dan penjaga murid melibatkan dua sekolah yang berbeza di daerah Gombak tentang kejadian ini.

“Siasatan terperinci juga sedang dijalankan pihak polis bagi mengesahkan kesahihan kejadian yang didakwa pengadu sebagai ‘cubaan culik’,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam.

– BERNAMA

 


Pengarang :