AGENDANASIONAL

Suri rumah dituduh buat laporan palsu, dakwa anak dipukul di madrasah

SHAH ALAM, 26 SEPT: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis palsu berhubung sebuah institusi milik badan bukan kerajaan (NGO).

Zuraina Zamri, 45, didakwa membuat laporan palsu dengan memberikan maklumat secara bertulis kepada seorang anggota polis di Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25, Petaling pada 12.45 tengah malam, 21 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb Rahman mencadangkan jaminan RM3,000 dan Zuraina diminta tidak mengeluarkan kenyataan media yang boleh menjejaskan prosiding kes.

Peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Zuraina memohon jumlah itu dikurangkan kerana ini kali pertama anak guamnya didakwa dan susulan daripada itu anaknya yang berusia 20 tahun kini tular di media sosial.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh dilarang mengeluarkan kenyataan media yang boleh mengganggu kes dan sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Nov.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ASP Mohd Iqbal Ibrahim menerusi kenyataan hari ini berkata wanita itu yang juga pengadu telah membuat laporan kira-kira 11 malam, 21 Ogos lepas mendakwa anaknya yang merupakan pelatih di sebuah madrasah telah dipukul, ditumbuk dan kepala diketuk oleh warden serta mahu mengeluarkan anaknya dari tempat terbabit.

Mohd Iqbal berkata susulan laporan itu, pihaknya mendapati anaknya dihantar ke pusat itu selama empat bulan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.

“Pada 23 Ogos, anak pengadu telah membuat satu laporan polis menyatakan dia tidak dipukul oleh pihak madrasah itu dan selang dua hari kemudian, lelaki berkenaan sekali lagi membuat laporan polis mengatakan dipukul oleh pihak yang sama.

“Pemeriksaan lanjut telah dibuat terhadap mangsa di Hospital Shah Alam mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa,” katanya.

Mohd Iqbal berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan telah dirujuk ke pihak Timbalan Pendakwa Raya dan diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA), namun pengadu kes itu dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :