Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2022 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Tangani cabaran bersama, pupuk perpaduan enam dekad bangsa Malaysia

Ucapan Hari Malaysia Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Kita baru sahaja menyambut 65 tahun kemerdekaan tanah air kita dan hari ini kita akan menyambut Hari Malaysia sempena penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke-59.

Selamat Hari Malaysia saya ucapkan kepada seluruh rakyat sama ada di Semenanjung mahupun yang berada di Sabah dan Sarawak.

Setelah lebih enam dekad perjalanan negara ini, untuk membentuk sebuah bangsa Malaysia yang utuh bukanlah mudah. Kita dapat melihat pada dekad-dekad awal selepas kemerdekaan, soalan-soalan besar dan penting menjadi wacana dalam kalangan para pejuang kemerdekaan dan pendiri persekutuan negara ini.

Pembentukan sebuah negara bangsa yang moden bukan suatu yang mudah kerana ada pengorbanan yang terpaksa dilakukan dan ada juga keputusan pahit yang perlu dilaksanakan sesuai dengan perubahan zaman yang menuntut kepada bentuk pentadbiran demokratik dan berperlembagaan yang baharu.

Begitu juga ketika cabaran geopolitik perlu dihadapi, antaranya, ancaman komunisme dalam iklim Perang Dingin, ketegangan Konfrontasi yang dilancar Sukarno, tuntutan Filipina terhadap Sabah dan juga penolakan dalam negeri sendiri terhadap penubuhan Malaysia.

Peristiwa 13 Mei menjadi parut dalam kehidupan bernegara ini. Namun banyak yang boleh kita pelajari daripada peristiwa tersebut dan bagaimana pemimpin terdahulu bertindak untuk menyelamatkan perpaduan rakyat dan juga persekutuan negara ini.

Ikhtiar ke arah cita-cita tersebut masih lagi relevan sehingga ke hari ini. Jurang antara yang paling kaya dan yang miskin masih luas. Begitu juga kesenjangan pembangunan di antara bandar dan luar bandar yang wajar untuk sungguh-sungguh ditangani.

Cabaran akibat tragedi itu, seperti mana cabaran yang kita sendiri hadapi akibat Covid-19, pastilah sedikit sebanyak mencorak arah tuju negara yang kita cintai ini.

Perjuangan melawan pandemik telah membuktikan bahawa perpaduan dan kesatuan hati di kalangan rakyat Malaysia adalah sumber kekuatan yang luar biasa. Kita boleh menarik nafas lega pada hari ini kerana keadaan hampir pulih seperti normal. Usaha untuk memulihkan ekonomi perlu digiatkan dengan lebih rancak.

Kesatuan hati yang berjaya kita pupuk saat melawan pandemik boleh kita terjemahkan dalam pelbagai bidang kehidupan yang lain demi mencapai cita-cita seperti yang terkandung dalam objektif Rukun Negara iaitu sebuah masyarakat Malaysia yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.


Pengarang :