Impian Sara Ali untuk berlakon dalam filem genre aksi ketenteraan terkabul menerusi Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa selepas lebih sedekad memahat nama dalam industri seni. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

‘Tenggelam’ dalam zon perang, Air Force kabul impian Sara Ali

Oleh Intan Syuhada Akhir

SHAH ALAM, 13 SEPT: Selepas lebih sedekad memahat nama dalam industri seni, baru impian Sara Ali berlakon dalam filem genre aksi ketenteraan terkabul menerusi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Wanita kelahiran Batu Pahat, Johor ini mendambakan aksinya dirakam dalam naskhah bertema peperangan, karya yang tidak banyak diketengah bidang perfileman tempatan.

“Dari dulu lagi saya berharap dapat berlakon dalam filem dengan genre aksi atau perang. Sebelum ini saya pernah menerima tawaran filem aksi namun saya tidak menyukai skrip cerita berkenaan.

“Beberapa bulan selepas itu, saya ditawarkan membintangi Air Force. Kali pertama baca skrip, saya terus suka kerana ia logik. Jika Malaysia berhadapan dengan situasi ini, cerita ini boleh meyakinkan penonton bagaimana situasi yang bakal kita hadapi nanti,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Berlakon filem Air Force The Movie selama tiga bulan pengalaman baharu dan berbeza kerana penggambaran dilakukan mengikut turutan babak yang jarang dilakukan mana-mana produksi. Pemilik nama sebenar Siti Sarah Hairi Ali dapat merasai momentum perkembangan plot sepanjang cerita.

Selain teruja dapat bersama dalam projek membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), beliau turut kagum dengan ketelitian penghasilan babak aksi yang dipantau oleh pegawai TUDM semasa penggambaran.

“Filem ini membawa nama tentera udara negara, maka ada pegawai yang memantau terutamanya untuk babak aksi. Saya boleh katakan setiap babak dilakukan dengan sangat teliti. Jika ada pelakon yang silap memakai ‘batch’ (lencana) dekat baju, kita akan lakonkan semula babak itu,” katanya.

Alami trauma perang

Memegang watak Natrah, seorang wartawan dalam Air Force The Movie, wanita berumur 32 tahun itu mengakui tenggelam dalam karakter yang dimainkan dalam zon perang sehingga membuatkannya seolah-olah mengalami Kecelaruan Stres Pascatrauma (PTSD) selepas penggambaran.

“Saya tidak sedar lama kelamaan saya bukan lagi hanya berlakon, tetapi menjadi watak yang saya lakonkan. Maka, selepas penggambaran habis, saya seperti alami PTSD.

“Saya benar-benar rasa seperti baru sahaja keluar dari zon perang. Jiwa saya tertinggal semasa melakonkan Air Force. Saya jadi teringat dengan pelakon-pelakon kerana hari-hari kita tengok wajah yang sama dalam tempoh tiga bulan.

“Saya ambil masa untuk keluar daripada situasi itu. Saya beruntung kerana selepas penggambaran kita rehat lama kerana pandemik. Saya cuba menjadi normal semula seperti melakukan rutin kebiasaan yang pernah saya lakukan sebelum Air Force,” katanya.

Simpati dengan Palestin

Sara mengakui peluang melakonkan filem berkenaan banyak mengubah cara pandangnya terhadap rakyat yang hidup negara bergolak seperti Palestin.

Selain melahirkan empati terhadap mangsa peperangan, dia juga berkali-kali mengucap syukur kerana Malaysia tidak pernah berhadapan situasi seperti itu.

Selepas berhempas-pulas selama tiga bulan untuk menjayakan filem yang mengangkat imej angkatan udara Malaysia, Sara menaruh harapan penonton dapat merasai keikhlasan yang ditumpahkannya dalam naskhah terbaharu itu.

Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa ditayangkan mulai 25 Ogos di pawagam seluruh negara bersempena Hari Kebangsaan ke-65. Antara pelakon yang turut menjayakan filem itu ialah Aiman Hakim Redza, Datuk Adi Putra, Nas-T dan Johan As’ari.

Fiksyen ini mengisahkan anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) bersama dua wartawan dan seorang sukarelawan terkandas dalam zon perang di negara rekaan bersama Namburi di Lautan Pasifik selepas ditembak jatuh semasa menaiki pesawat A400M Airbus.

Serentak itu, TUDM memulakan misi menyelamat anggota PASKAU dan wartawan serta sukarelawan berkenaan dari zon konflik menggunakan aset-aset ketenteraan negara, termasuk mengerakkan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet.


Pengarang :