EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi V Ganabatirau (tengah) bercakap ketika sidang media perasmian karnival Deepavali di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 19 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Terima permintaan tinggi, Selangor tambah dana RM500,000 untuk I-Seed

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan Negeri memberi peruntukan tambahan RM500,000 bagi program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) pada tahun ini.

EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi V Ganabatirau berkata secara keseluruhan sebanyak RM1.5 juta disalurkan Kerajaan Selangor pada 2022 berbanding hanya RM1 juta tahun lalu.

“Secara dasar setahun hanya RM1 juta sahaja tetapi permintaan dan permohonan sangat tinggi jadi Kerajaan Negeri menambah peruntukan RM500,000 lagi pada tahun ini.

“Saya percaya jumlah peruntukan ini akan ditambah lagi pada tahun hadapan,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini semalam.

Beliau berkata pada tahun ini sebanyak 211 penerima telah menerima bantuan dan dijangka lebih 300 usahawan bakal menerima bantuan peralatan dalam tempoh terdekat.

Program I-Seed dilancar pada 7 April tahun lalu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang mereka usahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.

Selain itu, perniagaan perlu aktif dan konsisten, pemohon atau pasangan (suami/isteri) tidak pernah menerima bantuan peralatan di bawah program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor atau program Dana Usahawan Mikro Selangor.


Pengarang :