Seramai 14 kanak-kanak dan lima guru berdepan detik cemas apabila terperangkap banjir kilat di Tadika Umiku Sayang, Kampung Mohd Amin, Johor Bahru, pada 25 September 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Terperangkap banjir kilat: Bomba selamat 14 kanak-kanak, 5 guru tadika

JOHOR BAHRU, 25 SEPT: Tindakan pantas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berjaya menyelamatkan kesemua 14 kanak-kanak dan lima guru di Tadika Umiku Sayang, Kampung Mohd Amin di sini susulan banjir kilat yang melanda bandar raya ini, pagi ini.

Pegawai Bomba Kanan II Nazarudin Yusof berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi selepas Pusat Gerakan Operasi negeri menerima panggilan kecemasan pada 9.30 pagi tadi.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, PKO bertindak menjalankan operasi penyelamatan dan memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir ke kawasan selamat iaitu di sebuah restoran makanan segera McDonald’s Nong Chik terletak kira-kira 550 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi berkenaan ditamatkan kira-kira 10.45 pagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ihsan Johor Farah Faridah Baptist berkata pihaknya turun padang membantu menyelamatkan kanak-kanak terperangkap berusia antara dua hingga enam tahun itu sebelum ditumpangkan di tadika sama di cawangan Larkin.

“Ketika kejadian, kita menghantar peralatan dan pengangkutan bagi membantu membawa keluar kanak-kanak dan guru terjejas. Air naik di tadika itu sehingga paras lutut. Kesemua mereka kini ditempatkan sementara di sebuah lagi tadika di Larkin,” katanya yang menerima laporan pada 9.50 pagi.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan berasingan memaklumkan sebanyak 10 kawasan di daerah ini dilaporkan terjejas akibat banjir kilat berikutan pertembungan hujan lebat bermula 6.30 pagi tadi dan fenomena air pasang.

Menurut JPBD, sehingga 12 tengah hari ini, kawasan terjejas adalah Batu 10, Skudai; Kampung Dato Sulaiman Menteri; Tabika Kemas, Skudai Kiri; Kampung Mohd Amin; Kampung Ubi; Kampung Tiram Duku; Kampung Peladang; Kampung Baru Muafakat; Kampung Pekajang dan Kampung Paya Mengkuang.

Bagaimanapun, JPBD menyatakan beberapa kawasan yang dinaiki air itu sudah surut dan pemantauan ke tempat kejadian dilakukan dari semasa ke semasa.

Tinjauan Bernama di Kampung Mohd Amin mendapati banjir kilat menyebabkan beberapa rumah penduduk dimasuki air sehingga paras buku lali, halaman rumah mereka pula di paras lutut, manakala jalan raya di hadapan rumah mereka dinaiki air hingga paras paha.

Dalam pada itu JPBD memaklumkan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Bengkal dibuka di daerah Batu Pahat bagi menempatkan 29 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Seri Bengkal yang dibuka sejak 8 pagi tadi.

JPBD turut melaporkan terdapat kejadian ribut di daerah Pontian dan Muar.

Berdasarkan pemantauan dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor, Kampung Sungai Naga, Api-Api; Air Baloi dan Parit Haji Omar, Kayu Ara Pasong adalah tiga kawasan di Pontian yang terjejas akibat ribut, manakala bagi daerah Muar melibatkan Kampung Parit Jamil dan Sabah Awor.

— BERNAMA

 


Pengarang :