Avani Sepang Goldcoast antara penginapan pilihan orang ramai ketika bercuti di Selangor. Foto Facebook Tourism Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tourism Selangor giat promosi, tarik pelancong luar negara termasuk Turkiye

OLEH NORZILAWATI SIDEK

SHAH ALAM, 19 SEPT: Tourism Selangor giat menjalankan promosi bagi menarik pelancong dari Rusia, Turkiye, Uzbekistan dan Kazakhstan menerusi kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere’.

Menerusi kenyataan, agensi berkata usaha itu disertai siri lawatan ke Moscow, Tashkent, Almaty dan Istanbul yang antara lain bertujuan mengekalkan hubungan dua hala dengan negara terbabit.

Katanya, lawatan selama sepuluh hari dari 11 hingga 20 September akan disertai EXCO Pelancongan Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad.

Menurut Loy Sian, kempen itu merupakan titik perubahan dalam meningkatkan kerjasama dengan negara terlibat menerusi siri promosi silang termasuk pengiklanan, kempen digital, jerayawara dan jualan.

Sehingga 2021, terdapat peningkatan 13.0 peratus pelancong dari Eropah yang melawat Selangor berbanding tahun sebelumnya ketika perjalanan disekat akibat pandemik Covid-19.

Persembahan tarian Jooh oleh Orang Asli Mah Meri sempena acara penutup kayuhan Selangor 600: Our Community, Our Home di Perkampungan Budaya Mah Meri Pulau Carey, Kuala Langat pada 12 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Antara tarikan negeri yang bakal diketengahkan termasuk Taman Tema Sunway Lagoon, Taman Kelip-kelip Kampung Kuantan, Kampung Budaya Mah Meri dan Avani Sepang Gold Coast Resort.

Pada 11 September lalu, Dato’ Menteri Besar berkata penambahbaikan kemudahan di pusat pelancongan negeri menjadi antara fokus penting dalam Belanjawan Selangor 2023.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebelum ini aspek pelancongan turut diberi penekanan dalam belanjawan negeri, namun lebih bertumpu kepada promosi untuk merancakkan industri pascapandemik Covid-19.

Nickelodeon Lost Lagoon antara tarikan di Sunway Lagoon, Petaling Jaya. Foto ihsan Sunway Lagoon

Pengarang :